Tuesday, December 6, 2011

073: Kemaskini ringkas

Tak sangka selepas lebih sebulan tidak mengemaskini blog, tulisan di blog ini masih dibaca. Malah bilangan follower juga bertambah 2 orang. Pencapaian yang cukup baik untuk blog tidak popular.

Satu perkara yang aku tak suka dengan diri sendiri, bila aku cakap nak tulis sesuatu topik dalam blog, pasti aku tidak akan tulis. Sama ada aku malas, tak ada idea, atau err... malas. Nah sudah sebulan tapi post mengenai Wellington masih belum aku tulis. Jadi untuk tidak mengecewakan siapa-siapa yang menanti (kalau ada), sila jangan percaya kalau aku kata mahu tulis topik begini begini.

Aku akan berkonvokesyen pada 13 Disember ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Banyak Allah tolong sepanjang aku belajar kat sini. Moga jadi muslim lebih baik selepas ini tanda berterima kasih pada Dia.

Pada 9 Disember ini, keluarga aku akan datang ke New Zealand sempena konvokesyen aku. Dan selama 10 hari di sini, aku akan membawa mereka berjalan-jalan. Dah lama aku simpan duit untuk saat ini. Moga jadi memori paling indah.

Tidak ada mood untuk menulis atau membaca blog. Noktah. Maafkan aku yang tidak sempurna ini. Isk.

Thursday, November 3, 2011

072: Blog dan bahasa

(Er hai blog. Lama tak jumpa.)

Sudah 9 hari berlalu sejak peperiksaan tamat. Peperiksaan terakhir. Harapnya begitulah. Semoga semester ini benar-benar semester yang terakhir.

9 hari ini juga aku kebosanan tahap maksima. Tidak pernah sangka bila tamat belajar kebosanannya dahsyat begini. Boleh naik gila.

Aku cuba mencari kerja tapi masih tiada jawapan. Duduk di rumah aku mula masak itu ini. Buat kek coklat, hantar dekat anak usrah yang masih berjuang dengan peperiksaan. Buat nasi kerabu ramai-ramai. Buat pizza. Buat seafood quiche. Pergi rumah senior, tolong buat model rumah yang direkanya untuk projek akhir. Pergi jalan-jalan tengok baju (dan semestinya membeli juga).

Niat mahu kemaskini blog. Tapi aku malas. Tak ada idea. Nak baca buku berilmiah sikit. Malas jugak. Tak tahu nak jadi apa. -___-"

Tapi hari ini aku kuatkan semangat untuk tulis blog. Dan aku berjaya! *tepuk tangan*

Aku berazam (cewah) untuk tulis segala kehidupan aku di Wellington. Segala tentang New Zealand yang aku tak pernah cerita. Mungkin cerita setahun atau 2 tahun dulu. Sebab bila aku fikir balik, bila lagi aku nak cerita pengalaman kat sini. Nanti balik Malaysia mungkin lama-kelamaan aku akan lupakan semua tu.

Lagipun bagi aku kehidupan selama 3 tahun di sini adalah satu fasa yang banyak memberi pengajaran kepada aku. Mengajar aku jadi lebih berdikari. Jadi lebih baik. Lebih ramah. Lebih matang.

Dan aku mahu menulis dalam bahasa yang baik. Maksudnya, ayat yang tersusun, ejaan yang betul, tatabahasa yang baik, bahasa yang indah. Aku kalau boleh mahu buang jauh-jauh bahasa rojak. Atau ejaan yang salah. Kadang-kadang memang aku buat jugak (macam kes ni ejaan jugak haha). Tapi aku sedang baiki sikit-sikit. Sebabnya, bagi aku kalau mahu menulis bahasa Inggeris, tulis lah sepenuhnya dalam Inggeris. Kalau nak tulis bahasa Melayu, tulis betul-betul dalam bahasa Melayu. Kalau masukkan dialog orang dalam bahasa Inggeris dalam penulisan bahasa Melayu, itu tak mengapa. Itu namanya penceritaan.

Wah macam skema kan aku.

Tapi mungkin kita tak tahu, penulisan dan bahasa yang baik akan membawa kita jauh dalam hidup. Penulis novel dan buku, mana ada tulis bahasa mat rempit atau rojak. Cuma zaman sekarang ni je yang muncul penulis novel internet yang suka gunakan bahasa begitu dalam novel. Wartawan, editor, semua tu gunakan bahasa formal. Dah alang-alang menulis blog, boleh lah asah teknik menulis jugak juga. Tak gitu?

Aku tahu ni hanya blog. Suka hati lah nak guna bahasa rojak atau bahasa rempit. Tapi sebenarnya bahasa 'skema' begini adalah lebih selesa untuk dibaca dan lebih jelas untuk difahami. Dan mungkin juga menunjukkan kematangan seseorang penulis itu. (wah nak kata aku matang la ni)

Tapi tak perlu pun ayat macam dalam suratkhabar. Sari berita penting ke apa. Bukan. Bahasa santai lebih sesuai di dalam blog.

Doakan aku rajin tulis blog selepas ini. Hehe


p/s: Aku suka je baca blog bahasa tak formal kalau blog tu menarik ^_^

Sunday, October 23, 2011

071: One fine day

Aku suka tempat yang tenang. Tak ramai orang. Tak sesak. Sebab tu aku bersyukur sangat datang Wellington. Sebab Wellington ni tak ramai orang macam Auckland.

Rumah sendiri adalah tempat paling tenang bagi aku. Tapi kalau bosan kat rumah, tempat yang aku suka untuk pergi cari ketenangan adalah laut, kedai buku, library dan hutan. Kalau ada lelaki yang suka date dengan aku tempat begini selepas kahwin, itu adalah bonus. 

Dan yang paling menarik, Wellington juga dekat dengan laut. Jalan kaki hanya beberapa minit. Kalau ke laut, biasanya kami akan bagi roti dekat burung dan itik yang kelaparan.


Aku suka tengok langit.

Besar gedabak roti manusia ni bagi. Ish3

Rasa macam bagi anak makan. Eh?

Makin banyak burung dan itik yang datang.

Wellington harbour.

Depan tu jeti. Pagi-pagi ada bot datang jual ikan.

Bot-bot di pelabuhan.

Bye. Nak balik dah.




p/s: Nanti mak aku datang masa grad, aku nak bawak pergi sini petang-petang bagi  burung makan. 

Friday, October 21, 2011

070: Cinta tiga segi

Di sebuah kampung bernama LUMO (Lowest Unoccupied Molecular Orbital), tinggal sepasang suami isteri yang hidup aman bahagia. Si suami bernama Carbon (C), manakala si isteri bernama Oxygen (O). Carbon dan Oxygen bercinta sejak di sekolah rendah lagi dan sangat mencintai satu sama lain. Hubungan mereka sangatlah kukuh, sekukuh triple bond.

CΞO

Disebabkan hubungan triple bond mereka berdua, hati mereka terasa begitu dekat sekali (low length) dan mereka begitu kerap bersama (high frequency) seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi.

Namun, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Walaupun baru setahun berkahwin, tetapi Carbon tetap merasakan jiwanya kosong (empty antibonding orbital). Eleh, sebenarnya bukan jiwa Carbon yang kosong, tapi dia masih mempunyai 3 tempat kosong. Mentang-mentanglah lelaki boleh beristeri 4, Carbon cuba menggatal dengan perempuan lain tanpa pengetahuan isterinya, Oxygen.

Metal adalah seorang gadis cantik berasal dari sebuah kampung bernama Transisi (Transition Metal). Metal sangat tertarik dengan Carbon, kerana Carbon merupakan seorang lelaki paling kacak di kampung LUMO. Metal berusaha menggoda Carbon untuk memenangi hatinya. Dia tidak peduli walaupun Carbon sudah beristeri. Apakan daya, dalam hati ada taman. Metal tidak sanggup lagi memendam rasa cinta dalam hatinya.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Carbon yang memang dasar buaya itu menerima cinta tulus gadis bernama Metal itu (delocalization of electrons from filled d orbitals on the metal to the ligand). Maka, berkahwinlah mereka berdua. Berbunga-bunga hati si Carbon kerana dapat memperisterikan gadis secantik Metal. Tidak seperti Oxygen yang gemuk gedempol.

Sampai hati Carbon menghina Oxygen sebegitu. Padahal si gemuk gedempol itulah yang dirindunya siang malam sebelum kedatangan Metal. Dasar lelaki, huh!

Lama kelamaan, rasa cinta antara Metal dan Carbon semakin kuat (pi-back bonding is strong). Carbon semakin mengabaikan Oxygen. Hubungan cinta yang kukuh antara Metal dan Carbon telah merenggangkan hubungan antara Carbon dan Oxygen.

Hubungan mereka berdua tidak lagi sekukuh triple bond, tapi nasib baik tak selemah double bond (C-O bond gets weaker, somewhere between CΞO and C=O). Hati mereka bertambah jauh (length increases) dan mereka tidak lagi bersama sekerap dahulu (frequency decreases). Semuanya berpunca dari Metal.

Namun Carbon tidaklah sekejam yang disangkakan. Dia tidak menceraikan Oxygen, kerana dia tahu wanita itu adalah wanita pertama yang berjaya mencuri hatinya. Cuma hubungan mereka tidak sekukuh triple bond, itu sahaja.

Marilah kita bersama-sama mendoakan agar hubungan mereka bertiga bahagia hingga ke akhir hayat.


p/s: It's chemistry-related. Aku sangat suka buat cerita berdasarkan konsep kimia. Kalau aku buat buku kumpulan cerpen kimia, ada sesiapa nak baca? Ha ha

p/s (2): another chemistry-related entry here

Sunday, October 16, 2011

069: Orang sabar juga ada perasaan.

Mama adalah manusia paling penyabar pernah aku jumpa.

Mama adalah perempuan yang akan sentiasa berbuat baik sekalipun kepada orang yang sering menyakitkan hatinya.

Mama tetap senyum dan diam, walau dia punya hak untuk melawan lantang. Mama tetap mengambil berat, sekalipun dia punya hak untuk tidak mempedulikan.

Itu mama yang aku kenal.

Dulu aku pernah marah dengan sikap mama. Kenapa tak lawan? Kenapa mama diam?

Tapi mama kata sabar. Mama tak mahu pertengkaran mengeruhkan hubungan.

Kata mama lagi, selagi mama mampu sabar, mama akan sabar. Walau apa pun yang dia buat, dia tetap orang penting dalam hidup mama.

Aku masih tak faham ketika itu. Kenapa mama perlu sabar sampai begitu. Dan aku tekad dalam hati, aku tidak akan jadi seperti mama.

Waktu itu aku memang kuat melawan. Kerana bagi aku, selagi kita sabar, selagi tidak melawan, selagi itu kita ditindas.

Bila semakin besar, perlahan-lahan berlaku perubahan tanpa aku sedar.

Aku hanya diam bila aku disakiti. Menangis sendiri bila diri dikhianati. Pujuk diri bila merajuk. Untuk melawan dan bersuara lantang jauh sekali.

Untuk beritahu pada dunia, bimbang dunia akan memandang serong padanya.

Untuk melawan dan menyakitkan kembali hatinya, bimbang hubungan keruh sampai bila-bila.

Aku sudah jadi seperti mama.

Kadang-kadang dunia ini tidak adil. Kita sering mengambil mudah orang yang sabar. Kerana dia sabar, jadi dia akan sabar walau apa pun yang kita buat. Kita boleh marah dia, sebab dia sabar. Kita boleh sakitkan hatinya, sebab dia sabar. Kita boleh ambil haknya, sebab dia sabar. Kita boleh layan dia ikut suka, sebab dia sabar.

Tapi kalau orang yang panas baran, orang yang kuat melawan, orang yang suka memerli lantang, kita selalu berhati-hati untuk tidak menyakitkan hatinya. Kita rasa perlu jaga hatinya, takut-takut dia marah. Takut dia naik angin.

Adakah perlu melawan baru kita tak disakiti? Adakah perlu pandai memerli pihak lawan, baru manusia pandai menjaga hati? Adakah perlu bermasam muka dan menghempas pintu, baru manusia takut melukakan hati?

Sabar itu memang tiada batasan. Tapi orang sabar juga punya perasaan. Dia bukan bodoh kerana tidak melawan. Tapi sayangnya mendalam. Dan kamu takkan faham.




p/s: Menjadi sabar bukan isunya. Tapi jangan menyakitkan hati orang, walaupun orang itu penyabar. Faham?

Friday, October 14, 2011

068: I'm looking forward to see you.

Petang tadi baru selesai project presentation di hadapan puluhan lecturer dan pelajar postgraduate. Aku tak sempat rehearse di hadapan kawan, sebab baru malam tadi pukul 2 pagi dapat siapkan slide. Kemudian tengahari berjumpa supervisor untuk buat amendment. Tambah point sikit-sikit yang penting. Tapi overall dia puji slide aku. Excellent, katanya.

Pukul 2 petang aku masuk bilik seminar. Penuh seperti first session Rabu lalu. Beberapa orang duduk di lantai sahaja sebab kerusi yang diambil dari luar pun sudah penuh. Mendengar research orang lain memang menarik bagi mereka.

Aku giliran ke 7. Bila nama dipanggil dan berdiri depan, semua perasaan cuak hilang.

"Enjoy yourself. People don't know any better than you about your own project." Teringat aku pesan supervisor tengahari itu sebelum aku keluar dari biliknya.

Alhamdulillah. Bercakap di hadapan puluhan orang besar dan hebat-hebat tidaklah seteruk yang disangka.

Selesai presentation dan sesi soalan, aku lihat Head of Department bagi tepukan yang bersemangat untuk aku sambil tersenyum lebar. (Aku hanya nampak dia masa tu, tak tahu kenapa.)

"Very good!" dia puji aku sewaktu aku lalu di tepinya untuk kembali ke tempat duduk.

"Thank you." balas aku. Senyum puas hati.

Alhamdulillah. Segala penat lelah hilang bila hasilnya dipuji.

Minggu terakhir kelas. Kelas terakhir untuk tahun ini. 11 hari lagi untuk hantar report dan assignment, dan menjawab 1 exam paper.

Kemudian dup dap dup dap tunggu result.


Graduation Day, I'm looking forward to see you.


p/s: Sekejapnya 3 tahun. Bakal merindui setiap saat dalam 3 tahun di bumi perantauan.

Monday, October 10, 2011

067: Mencari hikmah

Kadang kita tercari-cari hikmah atas kesusahan yang dialami.
Kita tertanya sendiri, mengapa aku Ya Rabbi?
Mengapa bertimpa-timpa ujian yang Kau beri?
Mana hikmah yang Kau janji?

Kita serba tak tahu. Tapi Dia Maha Tahu.

Hikmah itu tidak terlihat dalam sekelip mata..
Hikmah itu mungkin akal tak terjangka.
Hikmah itu kadang hanya dapat dirasa.
Hikmah itu selalunya proses mendidik jiwa.
Hikmah itu mungkin bukan pada diri, tapi manusia lainnya.
Hikmah itu mungkin tidak di dunia, tapi menanti di syurga.

Mencari hikmah itu perlu.
Tapi redha itu yang terdahulu.
Yakin dengan qada dan qadar yang sudah tentu.

Dari kecil belajar tentang beriman dengan qada dan qadar.

Sudah benar berimankah kita?

Tuesday, October 4, 2011

Bulan terakhir yang sengsara. Tak boleh ke nak grad je terus? :'(

Friday, September 23, 2011

066: Manusia tiada hati

Dulu masa kecik-kecik mama kata aku pelik. Sebab aku suka duduk sorang-sorang dalam bilik buat hal sendiri. Selalunya aku akan baca novel, kegilaan aku sejak dulu. Sanggup tak tidur tak makan sebab tak mahu melepaskan buku walau seminit. Sampai selalu kena marah dengan mama. Sampai kena paksa keluar bilik untuk makan. Adik beradik aku semuanya suka buat riuh rendah di ruang tamu. Gelak-gelak, tengok cerita sama-sama, main sama-sama. Tapi hidup aku dengan novel-novel aku. Atau lebih tepat, novel-novel yang dipinjam aku. Dulu aku tak ada duit nak beli buku. Jadi aku selalu pergi perpustakaan di tempat aku untuk baca dan meminjam buku. Dan kadang-kadang, seludup dari perpustakaan sekolah. (Jangan tiru aksi ini di mana-mana pun)

Disebabkan perangai aku yang hanya pandai berinteraksi dengan buku dan watak khayalan di dalamnya, aku tidak pandai bersembang dengan watak dunia realiti. Ramai kata aku tak ada perasaan. Ramai kata aku sombong. Ramai kata aku budak pandai yang tak nak campur dengan budak tak pandai. Dan aku tak pandai untuk senyum bila berjumpa dengan orang. Aku tak pandai bersembang dengan saudara mara. Aku tak pandai ambil hati orang tua. Sebab itu aku masa kecil dulu tak ada orang tua yang suka. Senang cerita aku ni macam heartless la. Semua anggap aku budak tidak comel yang susah untuk didekati. Siapa yang mahu dekat?

Aku juga tak pandai beri komen bila orang beli sesuatu yang cantik, sesuatu yang baru.

Reaksi perempuan biasa bila kawan dia beritahu dia beli barang baru yang cantik.

“Wah cantiknya. Beli kat mana ni?”

Reaksi aku bila kawan aku beritahu dia beli barang baru yang cantik.

“Oh yeke. Habis tu?”

Jawapan yang sangat menyakitkan hati. Tapi sebenarnya aku memang tidak tahu untuk respon benda sebegitu.

Bila masuk sekolah menengah, aku masih begitu. Walaupun dengan kawan baik aku banyak cakap, tapi sangat susah bagi aku untuk bersembang dengan orang baru. Dan ramai yang masih menganggapku sombong seperti dulu. Ada juga yang menggelar aku budak penyenyap. Mana datang perkataan penyenyap ni boleh bagitahu? Pendiam je yang aku biasa dengar. Siapa yang cipta perkataan imbuhan yang sangat asing bunyinya ini?

Okay itu dah keluar topik. Sambung balik.

Dan perangai yang satu ini menyebabkan aku tak pandai meluahkan isi hati. Nak tunjukkan aku sayang seseorang, aku tidak pandai. Nak tunjuk aku sayang mak aku, adik aku, kawan-kawan aku, aku tidak tahu bagaimana caranya.

Maka, aku pun mencari alternatif lain untuk meluahkan isi hati....


Bersambung. Aku penat taip.  


p/s: Aku akan sambung entry 'Satu soalan untuk anda' sebab entry tu memang aku buat tergantung begitu. Cari idea konon-konon lepas tu. Tapi busy tak hengat ni haa sampai sudah tak sambung. Terima kasih Ana Jannah dan Puding Karamel yang rajin menjawab soalan aku. Final exam aku sebulan lagi. Doakan aku please.

Sunday, September 11, 2011

065: Satu soalan untuk anda

Aku hanya ada satu soalan.

Apa yang korang nak capai dalam masa 10 tahun lagi?

Adakah masa tu korang dah ada 2 anak, atau masih belum berkahwin? Adakah sudah ada sebuah banglo, atau mahu membeli kereta idaman?

Semua lah yang korang nak capai. Tak kisahlah apa-apa.

Pernah terfikir? Jom fikir sekarang. Boleh reply kat komen. Nak buat entry khas pun boleh.

Monday, August 29, 2011

064: Tempat paling bahagia

Alhamdulillah. Serius rasa tak percaya dah sampai Malaysia. Dah rasa masakan mama. Dah main dengan anak saudara. Dah bersembang pot pet pot pet dengan semua. Dah tengok rumah bakal mertua. Dah beramai-ramai berbuka.

Alhamdulillah. Bersyukur sangat-sangat. Terubat segala rindu.

Rumah sendiri adalah tempat paling bahagia, kan?

Antara sebab aku pulang ke Malaysia adalah kerana semangat yang kian pudar untuk belajar. Sepanjang aku hidup, sangat jarang sebenarnya aku down gila-gila. Result teruk, ujian menimpa-nimpa, sakit putus cinta, masalah kawan, masalah family, sejak dulu aku memang kuat semangat. Kuat berusaha sehingga garisan penamat. Satu perkara yang aku bangga dengan diri sendiri.

Tapi entah mengapa, semester akhir ini aku jadi down. Lab report selalu hantar lewat sebab aku taknak korbankan masa tidur. Malas. Tak semangat nak buat assignment. Begitulah sejak di awal semester. Aku pun pelik dengan diri sendiri.

Dan perasaan ingin pulang itu bagaikan meronta-ronta. Tak fikir panjang aku terus beli tiket. Syukur waktu itu ada potongan separuh harga. Rezeki.

Walaupun lepas beli tiket dulu macam menyesal sikit-sikit sebab duit tiket dah boleh beli Android sebijik, hehe.. tapi lepas dah sampai rumah, nikmat bersama keluarga takkan terbanding dengan nikmat Android sebijik itu. Manfaatkan sepenuhnya masa di sini, inshaAllah duit itu tidak sia-sia.

Di kesempatan ni, aku nak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri walaupun belum raya lagi. Yelah, broadband ni lambat macam siput. Dia tengah buat perangai baik ni maka eloklah disegerakan ucapan kang takde peluang pulak.

Minta maaf kepada semua yang mengenali diri ini, sama ada dunia sebenar atau dunia maya. Semoga tarbiyyah Ramadan ini dapat membentuk diri yang lebih baik selepas ini. Masih ada masa lagi untuk merebut pahala. Sila bagi duit raya kat mak ayah hari ini sebab pahalanya berlipat ganda.

Selamat datang Syawal. Moga bertemu lagi Ramadan.

Wednesday, August 17, 2011

063: Salji di Wellington part 2

Aku hanya nak kongsikan sebuah video yang aku sangat suka. Hari ni snowfall dan hail di sebelah petang. Jalan licin. Dengar cerita ramai yang tergolek di tengah jalan hari ni. Nasib baik aku balik sebelum hail hehe..





p/s: Cuba Mall tu 5 minit jalan kaki je dengan rumah aku.

Tuesday, August 16, 2011

062: Salji di Wellington (updated)

Sepanjang 3 tahun di sini, Wellington memang tidak pernah bersalji. Dan sebenarnya sudah berpuluh tahun tidak turun salji di Wellington.  Untuk main salji aku perlu ke kawasan yang sejuk dan kawasan pergunungan.

Tapi tahun ini memang ajaib. Salji turun dengan lebat di Wellington. Untuk kebanyakan pelajar di sini, ini adalah pertama kali salji turun di depan mata. Salji yang turun lebat sejak malam tadi, dan kemudian beberapa kali untuk hari ini, berjaya membuatkan library yang senyap menjadi bising. Semua orang menjerit kesukaan. Ada yang berlari ke luar untuk bermain salji.

Salji turun di universiti.

Salji mula menebal.

Beberapa pelajar bermain salji dan menangkap gambar di hadapan Hunter Building.
 
Di sesetengah kawasan, lagi lebat salji turun. Tapi di universiti masih sedikit. Tak mengapa, sekurang-kurangnya jadi kenangan sebelum pulang ke Malaysia. =)

Tapi...

Angin kuat sangat sampai rasa nak tumbang kalau berjalan. Sejuknya menusuk tulang. Dan library tutup awal hari ni sebab salji. -___-

Updated: Cuaca hari ini


Feel like -5 degree. Patutlah tangan aku membeku tadi. Dah la ada ribut salji tadi kat luar. Kuat dan menyeramkan.

Aku sebenarnya malas sikit nak baca berita pasal salji ni. Lepas tu bila baca blog kawan-kawan barulah tahu keadaan sebenar.

Salji terakhir di Wellington adalah pada tahun 1970-an. Jadi lebih kurang 40 tahun tidak turun salji di Wellington. Salji yang turun dengan lebat pada musim winter yang sudah di penghujung ini sebenarnya adalah satu fenomena yang pelik. Fenomena ini dikatakan akibat Antartic Blast, yang menyebabkan seluruh New Zealand dilitupi salji. Dan berkemungkinan ini adalah winter paling sejuk dalam sejarah.

Kalau salji masih turun dengan lebat, berkemungkinan bekalan elektrik, air dan internet akan terputus. Mungkin kami akan terperangkap di dalam rumah dalam keadaan begitu. Universiti juga mungkin ditutup, termasuk airport, pasaraya dan tempat awam lain. Airport di Christchurch telah pun ditutup.

Aku sangat berharap salji tak akan terus turun dengan lebat sebab aku tak nak universiti tutup. Walaupun semua orang pun macam nak doa-doa supaya universiti tutup, tapi aku akan doa supaya universiti tak tutup. Banyak kerja akan menimbun kalau ditutup. Dan aku banyak benda kena bincang dengan lecturer tentang reseach project aku sebelum cuti.

Salji ini mungkin adalah kegembiraan yang seketika. Kawan aku kata jangan gembira sangat. Kita tak tahu apa nak jadi.

Tapi aku amat berharap anda dapat mendoakan kami di sini.

Aku tak nak airport Wellington tutup sebab macammana aku nak balik raya weiiiiiii...

Thursday, August 11, 2011

061: Terima kasih kerana tulisanmu

Aku sudah lama tak blogwalking. Aku biasanya hanya akan lawat blog yang biasa aku baca sejak dulu. Dan kadangkala blog mereka yang rajin melawat blog aku. Walaupun aku sangat ingin mencari blog-blog yang dekat dengan hati aku, tapi aku sentiasa tidak punya waktu untuk itu. Tahun terakhir di universiti adalah waktu yang sangat memenatkan. Tambah lagi aku ambil subjek yang ada lab dan research.

Tapi waktu aku bosan-bosan membuat lab report, aku cuba-cuba singgah sebentar di blog yang aku sudah lama follow, cuma jarang mengikuti setiap bait kata dalam penulisan mereka.

Dan alhamdulillah, 2 blog ini benar-benar buat aku jatuh cinta. Hingga buat aku cemburu dan terasa ingin menulis sebagus itu.

Dua blog yang aku maksudkan:

1. Sidratul Muntaha
2. Puding Karamel 

Terima kasih kerana tulisan yang menyentuh hati. Terima kasih kerana berkongsi cerita tentang kehidupan. Terima kasih kerana banyak menyedarkan.

Note to self: Perlu rajin blogwalking untuk jumpa tulisan yang berkualiti.

Saturday, August 6, 2011

060: Mari menjalin ukhwah

InshaAllah, aku akan pulang berhari raya di Malaysia tahun ini. Tapi cuti hanya 2 minggu. 5 September aku akan kembali ke New Zealand.

Oh sebenarnya aku ingin beritahu ini. Aku sangat teringin berjumpa dengan kawan-kawan yang rajin melawat blog aku.

Nur Nabilah
AJ Edrez
Fyna Man
Ana Jannah
Puding Karamel
Dark Rose
Nadiah
Anis Zafirah
Aida Lela
Izwani Azieda

*Maaf kalau ada yang aku tertinggal.

Tidak tahu mengapa, tapi hati terasa ingin berjumpa. Untuk berkenalan dan menjalin ukhwah di dunia realiti. Ini bukanlah gathering blogger besar-besaran seperti kebiasaan blogger lain, tapi pertemuan ini hanya pertemuan bertemu sahabat. Mungkin tidak ada yang istimewa, dan pastinya tidak glamour. Jadi kalau ada sesiapa yang sudi, dan berada di sekitar Perak atau KL, bolehlah beritahu aku. Kalau tak cuti ini, mungkin cuti lain kali. Bulan 12 ini inshaAllah aku balik lagi. Ya, semakin besar aku semakin mengada-ngada nak balik selalu.

Lagi 2 minggu je nak balik ni. Tak sabar sebab first time balik waktu raya. =)

Thursday, August 4, 2011

059: Siapa Safiyyah?

Safiyyah itu hanya nama seorang penulis blog. Nama yang dipinjam kerana nama sebenarnya langsung tidak ada perkataan Safiyyah itu. Tapi dia sangat sukakan nama itu sebab bunyinya lembut. Tidak bermaksud dia membenci nama sebenar yang diberi sejak lahir, kerana nama itu juga indah. Namun di blog, dia hanya mahu dikenali sebagai penulis, bukan selebriti yang menjaja nama dan wajah.

Safiyyah di blog adalah wanita yang tegas dalam mengutarakan pendapat. Yang suka hidup dalam bahasa indah yang berbunga, yang kadangkala hanya dia yang memahami. Dia sering menulis pengalaman sendiri, kemudian mengambil pengajaran yang Allah berikan dalam pengalaman itu. Dan pengalaman itu amat berharga lebih-lebih lagi bila dikutip di negara orang, negara paling muda di dunia. Mula menagih ilmu dan pengalaman di New Zealand sejak November 2008.

Safiyyah itu seorang yang suka menulis dan gemar pula membaca. Namun dia jarang meninggalkan jejak di blog yang dilawatinya. Dan pada masa-masa tertentu yang sesuai, dia akan memberi komen menegur penulis sesebuah blog. Kalau dia merasakan seseorang itu memerlukan teguran, maka dia akan menghadiahkannya dengan ikhlas. Dan tentunya teguran itu secara baik. Kalau bukan teguran sekalipun, jika tulisan itu benar-benar menarik perhatiannya, maka pantas tangannya menulis komen tanda penghargaan.

Safiyyah itu sangat menghargai tiap manusia yang membaca tulisannya. Sangat mencintai manusia yang memahami getar jiwa dan rasa dalam tiap bait kata di blognya. Namun kadang dia sesal apabila tidak cukup masa melawat kembali blog manusia yang setia dengannya. Kerana tanggungjawab itu melebihi masa yang ada. Dia hanya mampu berterima kasih dengan terus menulis untuk kebaikan yang membaca.

Safiyyah itu seorang manusia yang tidak sempurna. Yang kadang pandai menasihat melalui tulisannya, tapi sering juga kalah dengan hawa. Namun dia tidak mahu berputus asa, kerana baginya memperbaiki diri itu adalah sebuah perlumbaan. Langkah demi langkah perlu diteruskan. Biar pernah jatuh, biar pernah lelah, namun garisan penamat itu adalah destinasi impian. Dan dia pohon doa semua, agar perlumbaan itu berjaya dihabiskannya sebagai pemenang.

Safiyyah itu bukan siapa-siapa. Tapi dia amat mencintai penulisan. Safiyyah itu hanya seorang manusia biasa. Yang mungkin tidak nampak istimewa. Tapi dia seorang yang mencintai dirinya sendiri, kerana dia tahu manusia yang bersyukur dengan kejadiannya itu lebih dikasihi Tuhan.

Itu Safiyyah. Kamu pula siapa?

Wednesday, August 3, 2011

058: Orang sabar itu

‎"Anyone who trains himself to be patient, Allah will give him the strength to be able to be patient." (Al-Hadith)


Aku mahu jadi sabar. 
Dengan sesiapa pun. Dengan apa pun.
Kerana orang sabar itu darjatnya tinggi.
Bukan sahaja di sisi Dia. Malah di sisi manusia.

Orang sabar itu tenang raut wajahnya.
Orang sabar itu rasional tindakannya.
Orang sabar itu tak kenal putus asa.
Orang sabar itu mengasihi yang tua dan muda.
Orang sabar itu tak merungut dek ujian dunia.
Orang sabar itu mujahadah dalam ibadahnya.
Orang sabar itu tak mengumpat tak mengata.
Orang sabar itu hemah tutur kata.
Orang sabar itu akhlaknya mulia.
Kerana itu orang sabar itu biasanya disenangi semua.


Allah kata hidup ini ujian.
Dan ujian itu datang dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Yang semuanya menguji keimanan.
Menguji kesabaran hamba.
Sesiapa yang tetap dalam kesabaran, Allah telah menyediakan tempatnya di syurga.


Nabi kata sabar itu sebahagian dari iman.
Andai tidak dapat bersabar, kita masih belum sempurna iman.
Sebesar-besar hingga sekecil-kecil perkara, kita diuji kekuatan iman.


Duit hilang, bersabarlah.
Kawan mengata belakang, bersabarlah.
Sakit datang, bersabarlah.
Keputusan peperiksaan tidak memberansangkan, bersabarlah.
Dituduh difitnah, bersabarlah.
Ditinggal pasangan, bersabarlah.
Disakiti hati, bersabarlah.
Banyak kerja, bersabarlah.
Kematian orang tersayang, bersabarlah.
Dalam keadaan apa pun, bersabarlah.


Rugilah orang yang tidak bersabar.
Jika kemenangan dan nikmat dunia yang dia harapkan.
Dan beruntunglah orang yang bersabar.
Kerana ganjaran di akhirat itu jauh lebih besar dan tidak terjangkakan. 

Friday, July 29, 2011

057: Excuse me, I love you.

Beberapa jam yang lalu, ketika aku bergegas menuju ke lab...

"Excuse me?"

Aku pun berpaling bila seorang lelaki tiba-tiba menegur aku.

"Yes?" jawab aku.

"I just want to tell you this. That I love you." tutur lelaki itu sambil tersenyum.

Aku terkejut. Tapi hanya berdiri diam di situ. Aku pandang dia pelik.

"You are pretty. Amazing. The way you dress. You look bright. Look so soft. You make people happy just by looking at you. Oh so pretty. I love you."

Dia bersungguh-sungguh cakap begitu dengan aku. Seperti benar-benar kagum. Walaupun aku tak tahu apa yang dia kagum sangat tu.

"Err..err..thanks..thank you..".

Aku sebenarnya tak tahu nak kata apa masa tu. Aku cakap 'thank you' banyak kali.

Kemudian lelaki itu senyum dan berlalu pergi sambil melambai kepada aku.


Aku berjalan ke lab sambil ligat berfikir tentang kejadian tadi.

Dan sewaktu buat experiment tadi aku senyum sorang-sorang.


So random kan? But thanks to that guy, aku dapat buat experiment hari ini dengan senang hati. =)

Monday, July 25, 2011

056: Ada apa dengan Tahajjud Cinta?

Aku percaya, manusia itu mudah mengikut apa yang dilihatnya.

Sebab itulah aku cukup tak suka dengan cerita tentang rempit, bohsia, pelacur, dan sebagainya yang kononnya ingin memberi pengajaran kepada penonton. Dalam tu kau letak adegan atas katil, adegan bukak baju, adegan kena rogol, dan semua adegan yang tak senonoh, kemudian akhirnya kau buatlah akhirnya mereka bertaubat. Tak pun yang jahat tu mati. Tak pun bohsia tu kena HIV.

Tapi rasa-rasanya penonton insaf ke lepas tengok adegan tak senonoh kat tengah-tengah tu? Mungkin tak sampai 5% yang mengambil pengajaran. Itupun kalau ada pengajaran. Selebihnya, adegan-adegan begitu akan terus terbayang dalam fikiran. Aku cukup pelik bila adegan macam tu boleh lulus dan ditayangkan di seluruh negara.

Pengarah filem sepatutnya lebih menumpukan lakonan yang baik, dan pengakhiran yang baik, supaya mesej itu lebih jelas untuk disampaikan.

Baru-baru ini cerita Tahajjud Cinta ditayangkan di televisyen Malaysia. Aku tonton di youtube itupun setelah aku lihat banyak respon tentang cerita ini.

Okay aku tahu cerita ni memang banyak adegan yang orang tak setuju. Aku pun tak setuju. Perempuan pakai purdah boleh keluar holiday dengan yang bukan mahram. Lepas tu boleh pulak lelaki tu buka purdah Seri, lakonan Fauziah Gous. Seolah-olah cinta menghalalkan segalanya.

Tapi aku rilek dulu. Eh boleh pulak rilek-rilek. Bukannya apa, aku hanya mahu lihat kesudahan cerita ini. At some point, aku sangat teruja untuk lihat apa akan jadi kepada semua watak.

"Hey mana boleh! Cerita ini menghina agama!"

Kalau nak cakap pasal hina agama, cerita lain lagi teruk aku rasa. Tapi korang tengok jugak.

Okay point aku kat sini sebenarnya macam ni. Aku sukakan cerita yang menggambarkan Islam itu indah. Keluarga yang mengamalkan Islam itu bahagia. Supaya manusia yang tak faham dan takde ilmu, dia akan berfikir, "Oh Islam ni begini rupanya." Dan mungkin boleh mengubah persepsi dia bahawa Islam ni bestnyaaaa ohhh. *over*


Cakap pasal Tahajjud Cinta, aku rasa tak best bila isteri-isteri Ustaz Shauki tu seolah-olah hidup dalam tekanan dan kemurungan. Muka tak happy. Muka takut dengan Ustaz Shauki. *mungkin la jugak muka hormat. entahlah*

Seolah-olah bila kita mengamalkan prinsip keluarga Islam, kita kena jadi macam tu.

Tak ada gurau senda. Tak ada kasih sayang.

Aku faham pengarah tu buat watak Ustaz Shauki jadi macam tu.

Tapi macam aku cakap, bila cerita itu menggambarkan yang tak elok, maka itulah yang penonton fikir. Macam kes ni jugak, penonton (seperti aku) akan membuat kesimpulan yang begitu.

"Ah tak nak lah kahwin dengan ustaz. Tak happy pun. Takde gurau-gurau."

"Kan aku dah cakap poligami tu takkan bahagia. Tengok la cerita ni. Contoh depan mata."

Haa mungkin fikiran-fikiran begini akan keluar. *walaupun aku reka. hikhik. hey tapi betul apa*

Kan best kalau ada cerita yang tunjuk bahagianya keluarga yang mengamalkan Islam yang betul-betul Islam. Yang tunjuk Islam tu bukan hanya pergi masjid tetapi jugak merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Kan best kalau ada cerita yang tunjuk suami yang mengikut contoh Rasulullah. Rasulullah dulu kalau isteri masak tak sedap, dia senyum je. Baju basuh sendiri. Selalu bergurau dengan isteri. Sangat adil dengan isteri-isterinya. Malah isteri-isterinya saling menyayangi  dan menghormati antara satu sama lain. Keluarga poligami yang bahagia.

Aku suka cerita Nur Kasih sebab keluarga Adam dan Aidil tu nampak bahagia je. Walaupun ada macam-macam konflik, tapi aku suka mesej-mesej yang disampaikan.

"Banyak songeh lah. Filem ni mestilah ada variasi. Takkan nak baik je semua."

Ya, kena baik. Maksud aku, adegan-adegan tak senonoh tu tak payah letak. Tak bagi pengajaran pun. Boleh je nak buat cerita best kalau tampilkan watak dan mesej yang baik. Contoh paling baik filem Ketika Cinta Bertasbih. Best kan cerita tu? Kan? Kan? *tolonglah cakap best. isk2*

"Kalau kau terer sangat buatlah cerita sendiri," kata korang-korang yang tak puas hati.

Ah, ni aku rasa nak jadi pengarah filem ni. Hehehe... Mungkin orang yang faham agama pun perlu ada ilmu untuk buat filem. Paling kurang, buat video. Kita perlukan rijal yang berkualiti dari semua sudut. Barulah Islam tersebar dengan gemilangnya. Cewah.

Kita pun sebagai penonton, cubalah tengok cerita yang baik-baik. Kalau cerita merepek dan sah-sah tak senonoh, tak payah support pun takpe. Tambah dosa.

Satu lagi, tak payah la poyo sangat asyik nak pergi tengok wayang. Membazir. Baik pergi makan. Tak pun sedekah kat anak yatim. Bertambah pahala. *eh macam out of topic je. err err takpe kan?*

Sunday, July 24, 2011

055: Andai aku mati

Masa aku balik dari Dunedin tempoh hari, aku naik flight bersama seorang senior. Hanya dua orang. Yang lain telah pulang lebih awal. Lagi 10 minit (roughly) nak mendarat, pilot memberitahu flight akan mendarat di Christchurch kerana Wellington diberitakan ada angin ribut. Sehari sebelum itu, ada pula berita tentang earthquake di Taupo (beberapa jam dari Welly) dan tornado di Wellington.

Tiba-tiba tak jadi pulak. Kononnya mendarat di Palmerston North dan bas ke Welly akan disediakan untuk kami. Beberapa kali tukar plan. Lastly, flight sudah dibenarkan mendarat di Welly sebab keadaan sudah selamat. Semua penumpang yang tak puas hati tadi bersorak gembira. Aku pun mestilah gembira sebab aku ada kelas pagi tu. Selamba je balik beberapa jam sebelum kelas.

Wellington memang betul-betul tepi laut. Jadi sebelum mendarat, kedudukan antara flight dan laut sangat-sangat dekat. Mula-mula memang gerun, tapi sebab sudah beberapa kali naik flight, pemandangan begitu sudah biasa bagi aku.

Tapi pagi itu keadaannya lain. Beberapa minit sebelum mendarat, flight tiba-tiba bergoyang dengan sangat kuat. Lama. Aku menggenggam erat tangan senior di sebelah. Muka sudah pucat lesi. Terdengar pula suara kanak-kanak menangis dengan kuat.

Beberapa minit masih begitu keadaannya. Masih bergoyang disebabkan angin yang menggila. Aku tidak putus berdoa dalam hati. Tangan senior makin digenggam erat. Aku tidak lagi berani memandang ke luar kerana hanya laut yang kelihatan. Dan jaraknya memang sangat dekat.

Aku mengucap beberapa kali. Bertaubat sepenuh hati. Memikirkan keadaaan mama dan keluarga andai aku pergi. Menghitung sudah cukupkah bekalan diri.

"Ya Allah, selamatkanlah kami. Tapi andai aku pergi, masukkan aku dalam golongan yang diredhai."

Aku mengulang-ulang begitu beberapa kali. Bagai mahu menangis, tapi tiada air mata yang keluar.

Setelah beberapa ketika, flight mendarat dengan selamat walaupun terasa kuat dentuman sewaktu mencecah landasan.

Alhamdulillah! Alhamdulillah!

Aku menghembus nafas lega. Tapi perasaan takut yang bercampur baur tadi masih belum hilang dari raut wajah.

Sewaktu dalam bas ke rumah masing-masing, kami hanya berbual sekejap. Tapi diam yang lebih banyak. Aku tahu kami masing-masing memikirkan perkara yang sama.

Andai aku mati tadi, bahagia atau sengsara yang menanti?

Tuesday, July 19, 2011

054: Bila demam datang

Aku rindukan zaman sekolah rendah yang bila demam aku tak payah pergi sekolah.

Hanya suruh mama tulis surat kata aku demam. (Yang sebenarnya aku jugak yang tulis. Mama tinggal tandatangan je.)

Lepas tu duduk rumah, berehat, dan mama akan buatkan bubur nasi.

Mama akan sapukan minyak angin dekat kepala, dan picit sehingga pening hilang.

Mama akan kucup dahi beberapa kali tanda sayang.


Sekarang walaupun demam dan tak payah tulis surat pun kalau tak nak datang kelas, tapi kena gagahkan diri jugak untuk datang.

Risau kalau ketinggalan pelajaran.

Risau experiment yang perlu disiapkan.

Risau lab report yang perlu dihantar.

Panadol sentiasa ada dalam beg kalau-kalau sakit datang.

Balik rumah tiada mama untuk masakkan bubur. Kalau nak masak sendiri. Kalau tak larat, makanlah apa ada.

Tiada mama untuk picitkan kepala. Picit kepala sendiri. Sorang-sorang.



Seronoknya jadi budak kecik kan?



Di sini aku jarang demam. Sabar. Tahan. Ini penghapus dosa.

Monday, July 18, 2011

053: Winter Trip 2011 (Part 2)

Hari 3 (4 Julai 2011)

Awal-awal pagi lagi kami sudah bertolak ke Coronet Peak. 1 van dan 1 mpv. Jalan tidak bersalji, tapi keadaan tepi jalan yang lecak menyebabkan van kami tersekat 2 kali. Mujur ada lelaki Inggeris yang berhenti untuk membantu kami menolak van. Alhamdulillah. Sampai The Remarkable, hati aku sedikit kecewa. Salji masih belum tebal. Tapi bolehlah untuk bermain ski dan snowboard. Tahun lepas salji di Mount Ruapehu lebih tebal menyebabkan pemandangan keliling lebih cantik.

Main salji memang best. Tapi kaki aku membeku walaupun aku pakai boots. Sakitnya toksah cerita. Kaki beku pun aku masih boleh bergembira berguling-guling di atas salji dan membaling salji kepada orang lain bila berpeluang. Aku suka salji. Sangat-sangat. Selepas makan dan solat, kami bertolak ke Dunny (Dunedin). Sampai sudah lewat malam. Aku tidak kenal langsung orang-orang Dunny. Namun walaupun baru kali pertama berjumpa, kami disambut dan dilayan dengan sangat baik oleh tuan rumah. Baiknya orang-orang Dunny ni. Kami bertaaruf sebentar dengan tuan rumah. Selepas itu makan dan tidur dalam kesejukan walaupun tidur dalam sleeping bag. Oh sejuknya Dunny.

Best kot main benda ni.


Orang ramai bermain ski.



Hari 4 (5 Julai 3011)

Dunny sangat sejuk berbanding Welly. Aku sentiasa keluar dengan gloves dan muffler, yang sangat jarang dibuat di Welly. Selepas sarapan kami pergi ke Baldwin Street, The World's Steepest Street. Siap masuk world record tau. Jalan ni sangat-sangat curam. Boleh bergolek-golek kalau nak. Tapi aku tak buat la. Buang tebiat pulak kalau buat.

Kemudian kami ke kedai cenderamata berhampiran. Junior beli macam-macam. Senior macam aku ni dah tak rasa nak beli sebab masa tahun pertama dulu dah banyak sangat beli. Tambah lagi duit tak cukup nak shopping bagai. Isk. Aku hanya beli sijil Baldwin Street, sekadar syarat dah datang sini. Tak penting pun sijil tu. Aku saja mengada.

Jalan tercuram di dunia.

Disebabkan semua orang lapar, kami berhenti makan di Tokyo Garden. Tapi sedih sikit cerita pasal makan kat sini. Mula-mula main makan je sebab dicadangkan oleh orang Dunny sendiri. Tak fikir sangat. Tapi lepas tu aku menyesal sebab tak berhati-hati pilih tempat makan. Kat Tokyo Garden ni jual daging babi jugak. Walaupun tak masak sekali, tapi sudah semestinya peralatan yang digunakan adalah sama. Tak samak. Yakni haramlah hukumnya. Walaupun makan ayam, tapi tekak dan perut rasa lain macam selepas aku sedar yang aku tak patut makan situ. Haish. Sampai sekarang aku menyesal. Jadi, moralnya, jangan main ikut orang je.

Selepas itu kami ke Cadbury's World. NZD15 untuk masuk. Kami dibawa tour di dalam kilang selama 1 jam 15 minit untuk melihat cara pemprosesan coklat yang digilai ramai ini. Siap ada kuiz. Siapa teka dapat coklat. Lepas tu dapat pulak merasa coklat yang baru diproses. Aku mintak 2. Tak perlu malu sebab nanti kita juga yang lapar. Hihi. Lepas tu macam biasa sesi bergambar. Tapi kat luar je lah. Dalam kilang tak boleh tangkap gambar.

Beli kat sini murah sikit. Tapi aku tak beli pun.

Kenderaan waktu dulu yang digunakan oleh syarikat Cadbury.


Kemudian kami ke Otago University, tempat sahabat yang kami tumpang belajar. Course utama di universiti ini majoritinya adalah health science - medicine, anatomy, dentistry, pharmacology etc. Kami menangkap gambar di kawasan sekitar universiti sebab pemandangan di sini sangat-sangat cantik. Aku rasa macam dekat UK dah.
The clock tower.






Malamnya pula, kami pergi tengok glowworm. Apakah itu glowworm?

"A glowworm is the larvae stage in the lifecycle of a two-winged insect. A glowworm uses its glow to attract food and to burn off its waste. It's tail glows because of bioluminescence, which is a reaction between the chemicals given off by the glowworm and the oxygen in the air. This chemical reaction produces light, which the glowworm can control by reducing the oxygen to the light organ. " (http://www.waitomo.com/Waitomo-glow-worm.aspx)

Aku memang dah lama mengidam nak tengok glowworm ni. Bila dah tengok, subhanallah. Tak tergambar dek kata-kata. Macam tengok berjuta bintang di langit waktu malam yang pekat. Begitulah. Rasa nak menangis lihat luar biasanya ciptaan Allah. Melihat glowworm adalah antara perkara yang paling aku hargai dalam jaulah kali ni.
Subhanallah.

Cantik sangat-sangat kan? Glowworm ini hanya terdapat di New Zealand dan Australia.



(to be continued)

p/s: Aku baru menyedari hakikat bahawa aku memang failed bab cerita tentang travel. Dan aku malas upload gambar. Sebab tu blog aku tak banyak gambar. Tapi post kali ni aku letak banyak la jugak. Baik kan aku.

Sunday, July 17, 2011

052: Harga sebuah pelukan

Aku teramat rindu pelukan itu.

Pelukan kasih sayang mama sewaktu melepaskan aku ke New Zealand.

Aku masih ingat pelukan itu.

Pelukan hangat kak long sewaktu aku menangis di sisinya kerana hati yang dilukai teman.

Aku dambakan pelukan itu.

Pelukan ukhwah kakak-kakak usrah sewaktu jiwa masih kosong di bumi perantauan.

Bagi aku pelukan itu punya kuasanya yang tersendiri. Yang sukar untuk aku ungkap dengan kata-kata.

Kita mungkin boleh bersalam dengan sesiapa sahaja. Tapi untuk memeluk seseorang, ia memerlukan kasih sayang. Sayang yang lahir dari hati yang ikhlas.

Dan pelukan kasih sayang itu boleh mencairkan hati sesiapa sahaja yang merasa.

Antara perkara yang buat aku tertarik dengan usrah pada mulanya, adalah kerana pelukan kakak-kakak itu. Walau baru kenal sehari dua, tapi hangatnya pelukan itu aku masih boleh rasakan. Yang buat aku fikir, ah.. indahnya ukhwah kalian. Buat hati runtun kerana keluarga yang kejauhan. Namun lekas-lekas runtun itu kutepis, pabila keluarga baru tersenyum di depan mata. Yang mengambil berat bagai darah daging sendiri.

Dan ukhwah itu tersangat indah bagiku, kerana ia titik mula aku mendekatkan diri dengan Tuhan. Yang mengajar aku pengajaran tentang kehidupan. Yang buat aku kenal, apa itu ukhwah yang sebenar.

"Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, maka dia memperolehi kemanisan iman: Allah dan RasulNya lebih dikasihi olehnya daripada selainnya, dan dia mengasihi seseorang kerana Allah, dan dia benci untuk  kembali kepada kufur sebagaimana dia benci untuk dilontarkan ke dalam api neraka." (Riwayat Al-Bukhari)

Kita tidak akan memperolehi kelazatan iman seandainya tidak mengasihi seseorang itu kerana Allah.

"Bagaimana mengasihi seseorang itu kerana Allah?" seorang anak usrah aku bertanya sewaktu aku membacakan hadis ini kepada mereka.

"Berlapang dada, sabar, tolong-menolong, itsar (melebihkan orang lain dari diri sendiri), dan banyak lagi. Berlapang dada itu merupakan serendah-rendah ukhwah. Andai tidak dapat berlapang dada, maka kita belum menyayangi sahabat kita kerana Allah. Nak berlapang dada pun kadang-kadang kita tak mampu, apatah lagi mahu melebihkan kawan lebih dari diri sendiri. Betapa banyak lagi usaha yang perlu kita lakukan untuk mendapat title 'ukhwah fillah' itu."

Aku masih ingat lagi sewaktu jaulah ke Dunedin tempoh hari. Aku menumpang di rumah sahabat yang belajar di sana. Aku lihat mereka akan berpelukan sebelum ke kelas. Bila ada kawan serumah yang baru pulang, maka akan disambut kawan itu dengan pelukan. Bila kawan itu menghadapi masalah, maka dihadiahkan pelukan untuk menenangkannya.

Pelukan itu bukan dibuat-buat. Tapi aku dapat lihat betapa pelukan itu menyatukan hati-hati mereka.

Aku, bukanlah seseorang yang akan memeluk orang lain bila berjumpa. Jujurnya, aku tidak pandai berbuat begitu. Terasa janggal.

Tapi kini, tiap kali bersalam, aku mahu memeluk orang-orang keliling yang aku sayang. Walau janggal, tapi aku mahu cuba. Kerana pelukan itu akan menyebarkan rasa sayang. Pelukan itu buat kita rasa kehangatan ukhwah.

Pelukan itu istimewa. Yang mungkin aku, kamu dan kamu, selama ini tidak pernah nampak besarnya peranan sebuah pelukan.

p/s: Bila jadi seorang ibu, peluklah anak setiap hari, kerana 1 minit sentuhan itu lebih bermakna dari 5 minit kata-kata.

Wednesday, July 13, 2011

051: Ignore the pain

Bila kita sakit, tapi kesakitan itu perlu dilupakan dan ditahan, demi sesuatu yang lebih besar.

Bila sakit itu kadangkala menggigit tiap urat saraf.

Bila sakit itu buat badan hampir menggigil.

Begitulah.

Pernah rasa?




Ah, kenapa sakit itu perlu datang bila aku nak buat lab ni? Isk. Sedih.

Tuesday, July 12, 2011

050: Winter Trip 2011 (Part 1)

Walaupun baru 10 hari menjauh, tapi hati terasa rindu mahu menjengah blog ini. Rindu untuk mencoret sesuatu. Rindu membaca tulisan sahabat penulis yang lain. Tetapi kekangan waktu membataskan aku.

Aku baru sahaja pulang dari Dunedin, New Zealand. Sebenarnya percutian ini bukanlah benar-benar dikatakan 'holiday'. Kerana aku ada program selama 3 hari di Dunedin, yang menyebabkan aku terpaksa melangkah keluar dari rumah di saat cuti yang sejuk begini. Post sebelum ini sengaja mahu menggembirakan hati sendiri. Tapi memang benar aku main salji di Coronet Peak, Queenstown bersama beberapa orang junior dan sahabat. Sudah tentu junior yang ghairah bermain ski dan snowboard memandangkan ini kali pertama mereka bertemu salji. Aku mahu menjimatkan duit, jadi aku hanya bermain perang salji bersama senior yang juga malas menghabiskan duit.

Terlalu banyak perkara yang mahu dikongsikan. Pengalaman yang sukar dicari ganti. Yang membuatkan aku bersyukur kerana aku memilih untuk mengikuti jaulah ini.
Post ini akan mempunyai beberapa siri. Aku mahu mencatatkan apa yang aku lalui. Untuk bacaan hari kemudian. Mungkin agak bosan untuk kalian.

Hari 1 (2 Julai 2011)
  1. 7 orang sahabat Welly (Wellington) berkumpul kemudian mengambil flight ke Christchurch. Sampai pukul 6 petang dan sudah gelap. Sekarang winter. Waktu siang memang pendek.
  2. Flight ke Queenstown pukul 8 pagi esok. Jadi kami semua tidur di airport Christchurch. Dihalau 2 kali kerana tidur di tempat yang tidak dibenarkan. Betul-betul rasa merempat.
  3. Akhirnya kami tidur di kawasan rehat yang disediakan. Kawasan tersebut kecil manakala manusia yang merempat ramai. Kami tidur menggunakan sleeping bag yang dibawa.
  4. Disebabkan kawasan itu betul-betul sebelah pintu, maka angin sejuk meluru masuk setiap kali pintu itu terbuka. Pakai sleeping bag pun masih menggigil menahan sejuk. Orang ramai yang keluar masuk dengan troli menghasilkan bunyi bising yang sukar membuat kami lelap. Ada pula manusia yang bersembang dengan volume yang maksimum di kawasan sebelah. Aku cuba untuk tidur tapi tak boleh.
  5. Bila aku jenguk kepala keluar dari sleeping bag, seorang lelaki tidur di sebelah kanan aku. Sebelah kiri aku adalah adik-adik yang keletihan yang bersama-sama dari Welly. Aku letak beg besar aku menjadi penghadang antara aku dan lelaki itu. Nasib baik tak sakit jantung tengok lelaki tidur betul-betul depan mata.
  6. Aku hanya tidur selama 1 jam pada malam itu.
Hari 2 (3 Julai 2011)
  1. Flight ke Queenstown. Bila sampai kami disambut oleh sahabat dari Auckland. Terus bergerak ke penginapan.
  2. Jalan-jalan sebentar di Lake Wakatipu. Tak sampai 5 minit jalan kaki dari tempat kami menginap. Subhanallah. Lake Wakatipu sangat cantik.
  3. Kami sempat bertaaruf bersama sahabat Auckland. Kesemuanya perempuan.Ini kali pertama kami bertemu. Kemudian ada games untuk merapatkan ukhwah antara kami.
  4. Walaupun ramai junior yang datang dari Auckland, tapi kesemua mereka bermuka matang. Jauh lebih matang dari aku. Aku pelik. Adakah aku terlalu awet muda? Ehem.
  5. Usai solat dan makan pasta secara berjemaah, kami bertolak ke Puzzling World di Wanaka yang mengambil masa selama 2 jam. Dalam Puzzling World ada maze, dan pelbagai illusion yang menakjubkan. 15 dollars sahaja untuk masuk.
  6. Sebelum itu kami ke Budget Ski Rental untuk menyewa peralatan ski dan snowboard kerana kami akan ke The Remarkable, Coronet Peak pada awal pagi esok. Kalau sewa di The Remarkable lebih mahal. Sewa di sini jauh lebih murah.

Leaning Tower of Wanaka


Apa nama bilik ni aku dah lupa. Nampak tak sebelah kiri tu besar macam giant, yang kanan tu kemetot je. Ada banyak lagi illusion dalam tempat ni.






The breathtaking views of Lake Wakatipu.



Tunggu Part 2 pulak. Kalau nak tunggu lah. Kalau tak tunggu pun aku update je inshaAllah.

049: Cinta tulus

Sesuatu yang bukan milik kita, selamanya tidak akan menjadi milik kita.

Sesuatu yang sememangnya milik kita, biar terlepas dari genggaman, akan dipermudahkan Allah untuk sampai ke tangan kita kembali.

Keyakinan aku pada itu.

Kerana itu aku tidak meminta sang hati yang setia.

Kerana hati itu bila-bila sahaja boleh berubah biar seribu pengorbanan kita lakukan.

Hati itu boleh berubah tak kira masa biar seribu perjanjian dipaterikan.

Cukup dikhabarkan jika hati sudah berubah.

Kerana jika cinta itu tulus, ia tidak akan pernah mengubah hati.

Saturday, July 2, 2011

Bercuti selama 10 hari di South Island, New Zealand.

Jom main salji!

Thursday, June 30, 2011

048: Aku anak kecil yang paranoid

Sejak kecil, aku sangat suka menonton cerita seram dan thriller. Aku membesar dengan cerita X-Files. Fox Mulder dan Dana Scully adalah 2 watak yang sentiasa tersemat dalam kepala aku sehingga kini.

Kemudian abang-abang aku pula selalu menonton cerita sebegitu di rumah. Dan sudah tentu aku terikut sama menonton. Dan tidak sah kalau cerita seram ini tidak ditonton pada waktu malam dan ditutup semua lampu. Baru feeling, kata abang aku.

Dan aku juga gilakan cerita Final Destination dan Child's Play. Semua episod aku dah tengok.

Cerita kartun aku tak layan sangat.

Disebabkan aku sering bergelumang dengan cerita begitu sejak kecil, mimpi aku setiap malam mesti sangat menakutkan. Macam-macam jenis hantu dan makhluk pelik yang akan masuk dalam mimpi. Aku tidak pernah ingat mimpi yang indah-indah, tapi aku masih ingat mimpi-mimpi menakutkan itu walau sudah berpuluh tahun berlalu.

Aku juga jadi paranoid kesan cerita begitu, terutama Final Destination dan X-Files.

Setiap kali naik lif, aku akan terbayangkan kepala aku akan terputus kalau aku tak keluar cepat-cepat akibat tersekat di pintu.

Nampak paku di dinding, aku terbayangkan mata aku tercucuk paku itu kalau aku tak berhati-hati.

Nampak lori balak di highway, aku terbayangkan kemalangan ngeri yang akan berlaku kalau rantai yang mengikat tali balak itu putus.

Naik escalator, aku takut kalau aku tersepit antara tangga-tangga dan terputus itu ini.

Lihat cermin tandas di waktu malam, aku terbayangkan hantu-hantu menakutkan yang akan muncul di belakang tiba-tiba.

Aku takut naik roller coaster sebab terbayangkan apa akan jadi kalau ada kesilapan teknikal yang menyebabkan semua orang mati.

Fikiran aku waktu kecil memang begitu. Dan sebenarnya agak menakutkan kalau difikir kembali.


Aku tidak tahu sejak bila. Tapi aku nekad untuk tidak menonton cerita sebegitu lagi. Aku mahu 'cuci' kembali kepala aku yang mungkin sudah mereng ketika itu. Aku tidak mahu lagi terbayang benda yang bukan-bukan.

Selepas itu aku sudah berani naik lif dan escalator. Malah roller coaster juga aku sudah berani mencuba. Bukan setakat mencuba, aku mahu lagi dan lagi. Aku tidak lagi takut ke tandas pada waktu malam. Tidak takut membasuh baju di asrama pukul 3 pagi. Tidak takut berjalan seorang diri waktu malam. Dan mimpi-mimpi aku tidak lagi diganggu hantu dan makhluk menakutkan.

Tapi proses itu bukan proses yang sekejap. Agak lama untuk aku hilangkan pemikiran yang begitu. Dan sebenarnya aku cuba sedaya upaya untuk jadi berani. Aku beranikan diri basuh baju di asrama pukul 3 pagi, sebab aku mahu buktikan bahawa makhluk menakutkan itu hanya ada dalam TV. Aku cabar diri untuk naik roller coaster, untuk hilangkan rasa takut yang ada.

Sekarang minat aku pada cerita-cerita penyiasatan dan action. Dan juga drama-drama biasa tentang kehidupan. Sekurang-kurangnya cerita begitu tidak membuatkan fikiran aku jadi gila.


Semua ini sebenarnya memberi pengajaran buat aku.

Bila aku ada anak nanti, aku tidak akan membiarkan mereka menonton cerita begitu. Biarlah mereka gila menonton kartun sekalipun, itu sesuai dengan fitrah mereka.

Aku tidak mahu mereka takutkan hantu lebih dari Allah.

Aku tidak mahu mereka paranoid tentang benda-benda di sekeliling mereka.

Aku mahu mereka bermimpi yang indah-indah.

Dan punya kenangan waktu kecil yang indah-indah.

Sekurang-kurangnya, lebih indah dari aku.

Wednesday, June 29, 2011

047: Kita semakin jauh

Tidak tahu mengapa, tapi kurasakan kita semakin jauh.

Banyak khilafku mungkin, namun aku sedang perbaiki.

Tapi melihat persepsimu yang seolah tidak berubah, semangat itu hampir musnah.

Aku perlu sokongan.

Tapi kamu yang sempurna itu langsung tidak memandang usaha kecil sang tidak sempurna ini.

Kamu lupakan segala kebaikanku, dan menghitung tiap kesalahanku.

Aku tidak mahu terus terluka, lalu ku kenang tiap pertolonganmu.

Aku cuba berlagak biasa, namun semakin dipendam luka ini semakin parah.

Tidak terhitung berapa titis air mata yang mengalir.

Jika kamu mengharap seorang yang sempurna juga untuk berada di sisimu, ternyata aku tidak tergolong di dalamnya.

Maafkan aku, kerana aku manusia. Dan manusia itu tidak sempurna.



Maafkan aku wahai laptop. Tapi aku harap kamu tidak stuck seperti selalu. Aku berjanji untuk menjagamu dengan lebih baik. Oh dan juga update antivirus selalu, scan pendrive, tidak memaksamu bekerja 24 jam dan juga buang segala habuk yang berlambak di screen. Akan ku lakukan segala-galanya untukmu.

Promise!

Sunday, June 26, 2011

046: Yang terakhir

Esok paper terakhir untuk sem ini. Moga aku dapat menjawab dengan baik dan tenang. Mohon doa dari semua.


Organic Chemistry

27 Jun 2011

0930 - 1230



Ok sangat cuak.

Friday, June 24, 2011

045: Lelaki yang sering membuat aku tersenyum (Part 2)

Adegan 1

Aku tutup lampu bilik air. Kemudian aku letakkan mainan Huzaifah ke dalam sinki. Waktu ini Huzaifah sudah berumur 6 tahun.

"Haa pergi ambil" arah aku.

Aku sengaja mahu menguji. Cerita part 1 dulu ketika Huzaifah berumur 3 tahun. Sekarang sudah 6 tahun, sudah ke sekolah, dia sudah tahu tentang hantu. Mungkin tahu dari kawan-kawannya, atau kami tanpa kami sedari.

"Pasanglah lampu. Gelap." Huzaifah pula menyuruh aku.

"Ala buat apa nak takut. Allah kan ada."

Huzaifah memuncungkan mulut dan memandang aku buat muka kasihan. Tapi aku masih menyuruh dia memberanikan diri mencari barang mainannya di dalam gelap.

"Takpelah."

Dia berkata begitu dan terus keluar dari bilik tinggalkan aku terpinga-pinga.

"Kurang asam." aku bebel dalam hati.


Adegan 2

Waktu itu Yop baru belikan Hanzalah pedang mainan. Lelaki, biasalah. Bila sudah dapat pedang, mahu berlagak ala-ala pahlawan. Dia menusuk semua orang dengan pedang barunya. Aku yang suka layan dia bermain paling banyak kena. Aku buat-buat sakit. Tapi, memang sakit pun. Kuat jugak budak tu tusuk aku.

Melihat aku kesakitan, dia sangat puas hati dan berkata,

"Hanzalah hebat!"

Aku pun membalas.

"Hanzalah tak hebat. Allah lagi hebat."

Lepas tu dia terus terdiam.

Haha. Padan muka.


Adegan 3

Hanzalah berlari-lari atas meja. Waktu itu kami singgah di rumah abang aku. Meja itu meja rendah panjang yang abang aku gunakan untuk kelas mengaji.

Tiba-tiba entah macam mana kakinya tersadung dan dia terhantuk atas meja.

Dia pandang aku terkejut. Bukan dia je terkejut, aku pun terkejut jugak. Dahinya merah sedikit. Aku takut dia akan menangis.

"Allah bagi jatuh. Allah bagi sakit. Nanti Allah bagi baik (sembuh)," aku berkata begitu kepadanya dan senyum sambil meniup-niup dahinya yang kemerahan.

"Hanzalah kuat!"

Tiba-tiba dia memekik begitu, kemudian bangun dan berlari atas meja seperti tadi. Ah sudah. Nanti jatuh lagi baru tahu.

"Allah lagi kuat la." balas aku. Sengaja mahu mengusik.

Dia pandang aku sambil buat muka tension.

Kehkeh.



Aku rasa semakin lama aku semakin menyerupai perangai budak-budak tu. Apakah? Adakah ini kesannya menjadi babysitter sepanjang cuti di Malaysia?

Thursday, June 23, 2011

044: Segmen - Andai itu yang terbaik.

Andai Itu Yang Terbaik


Sering saja aku ingin jadi suria,

Yang tak jemu berarak di ufuk angkasa,


Agar hati-hati yang terluka,

Dihiris tohmahan kekasih celupar,

Bisa merasa hangatnya cinta,

Menumpang cahaya yang menyinar,


Selalu saja aku ingin jadi hujan,

Yang turun lewat kelabunya awan,


Agar rasa-rasa yang rawan,

Ditinggalkan kekasih di lorong curang,

Bisa menangis ditemani hujan,

Mencari kembali semangat yang hilang.


Kadang mahu saja aku jadi pelangi,

Yang terbentang indah di langit tinggi,


Agar jiwa-jiwa yang menangis,

Menanti kekasih dalam gerimis,

Bisa mengukir senyuman manis,

Memandang warna tujuh cebis.


Wahai hati-hati yang terluka,

Rasa-rasa yang rawan,

Jiwa-jiwa yang menangis,


Teriaklah sehingga letih,

Menangislah sampai pulih,

Mengadulah sehabis sedih,


Namun biarlah sebentar cuma.

Kerana Tuhan itu punya rahsia,

Yang terbaik itu kata janji-Nya,

Pengganti kekasihmu ada di syurga.


Andai itu yang terbaik,

Senyum kembali wahai si cantik,

Jangan merungut jangan mengherdik,

Rancangan Dia yang paling cerdik.


Join segmen Sang Penyair Senja di -SINI-

__________________________________________________________

Sebenarnya aku terbaca pasal segmen ni di blog ANAJANNAH. Aku bukanlah manusia yang aktif join contest dan segmen sana sini. Cuma aku memang sukakan puisi. Kalau ada sesiapa yang suka puisi jugak, boleh lah join. Aku pun dah lama tak trigger otak untuk karang puisi. Walaupun puisi aku ni tak berapa puitis pun, tapi yang penting bagi aku orang faham apa aku nak sampaikan. Ke korang tak paham jugak? Haha..

Puisi ini untuk wanita yang ditinggalkan kekasih curang, yang selalu dilukai kekasih, dan yang masih menunggu kekasih hati.

Wednesday, June 22, 2011

043: My Dream Wedding =)

Bila ditanya, bagaimana perkahwinan yang diidamkan kamu, pasti ramai yang nak perkahwinan ala-ala puteri raja, fairy tale wedding, garden wedding, wedding of the year, dll. Macam-macam. Yelah, siapa tak nak perkahwinan grand, sekali seumur hidup.

Tapi aku, mungkin lain sikit.

This is my dream wedding =)

1) Aku tak nak sewa baju grand yang mahal-mahal tu. Sewa rm400 lepas tu kena pulangkan. Rugi. Membazir kat situ. Aku nak beli je. RM100-RM200 pun tapi kalau baju tu boleh pakai lagi selepas kahwin, kan tak rugi. Sekarang banyak dah baju kurung cantik-cantik, yang boleh buat kahwin. Boleh simpan kenang-kenangan. Boleh tunjuk kat anak, "Ni lah baju kahwin mama. Nah try pakai." Ni kalau anak aku dah besar la. Haha.. Suami aku pulak, pakai je baju melayu dengan sampin songket. Tak payah tengkolok, tak payah berkeris bagai. Pakai songkok je. Jangan nak mengada. Eh, mana boleh garang dengan bakal suami =')

2) Tak nak bersanding. Satu, sebab tak dibenarkan dalam Islam. Kedua, nak buat apa? Waktu kahwin ni bukan waktu kita pencilkan diri kita dari tetamu dan bersanding untuk semua orang tengok. Aku nak masa aku kahwin nanti aku tukang layan tetamu jugak. Sebab waktu kahwin ni lah ramai saudara mara dan kawan-kawan datang. Waktu ini lah kita nak kenal keluarga dan kawan-kawan suami. Waktu ni lah nak merapatkan ukhwah. Tak gitu? Ada ke orang buat macam ni ek? Tapi aku tak kira, waktu aku kahwin aku nak layan tetamu. Bukan duduk meja VIP 24 jam.

3) Jemput anak yatim dan orang masjid. Kenduri kahwin ni sebenarnya kita nak gembirakan dan bagi makan kat tetamu. Kira macam sedekah, walaupun istilah tu mungkin tak sesuai. Kalau bagi anak yatim dan orang masjid, bertambah-tambah pahala. Dan dapat gembirakan mereka pada masa yang sama. Duit baju potong sikit untuk bagi dorang makan. Haa ok apa. Er kepada bakal suami aku, aku nak buat benda ni. Pleaseee

4) Souvenir atau door gift. Tak perlu bagi mangkuk pelik-pelik yang lepas tu tak boleh guna. Simpan dalam almari buat hiasan. Aku nak bagi Al-Mathurat ke, Yasin ke. Duit lebih sikit bagi sejadah. Ada jugak kegunaan ye tak?

5) Meja asing untuk perempuan, lelaki dan keluarga. Couple nak datang dan makan bersama? No. At least not at my wedding. Duduk je lah dengan kaum sendiri, bukan susah pun. =)

6) Makan? Mestilah yang sedap-sedap. Kita kan nak jamu orang makan.

7) Make-up. Kalau boleh aku tak nak make-up tebal-tebal. Touch up sikit je cukup. Aku suka natural. =)

8) Inai? Hmmm aku tak suka pakai inai sebab rimas nak duduk diam jaga benda tu bagi tak rosak. Eh kalau tak pakai inai takpe kan?

9) No pre-wedding photography. Ever. Tak boleh bergambar berdua sebelum kahwin ye kawan-kawan. Pulak tu kalau nama pre-wedding confirm nak rapat dan bermesra bagai. Enggak boleh dong.

10) Post-wedding photography? Tengok la dulu. Aku pemalu orangnya. Haha.. Kalau indoor, dengan keluarga, bergambar ramai-ramai okay la. Tapi kalau outdoor, yang aksi romantik itu, aku err.. postpone ke 1st anniversary boleh tak bang? =')


Haa inilah 10 kriteria dream wedding aku. Aku tau tak best pun. Haha.. Tapi bagi aku, majlis perkahwinan itu bukanlah sesuatu yang perlu dipentingkan sangat. Sampai berhabis duit bergolok gadai, berhutang sana sini. Rasulullah tak ajar macam tu pun.

Islam sebenarnya amat memudahkan pernikahan. Tapi adat orang Melayu ni banyak sangat sampai kahwin tu kita rasa susah. Kerja penat-penat, kumpul duit banyak-banyak, tapi duit tu semua habis dalam masa sehari je.

Kehidupan selepas berkahwin itu lebih penting. Sudah bersediakah menjadi seorang isteri? Sudah didik kesabaran untuk taat pada suami? Sudah cukup matang menggalas tugas seorang ibu? Sudah belajar masakan kegemaran suami? Sudah cukup toleransi dengan ibu mertua dan keluarga suami? Sudah cukup ilmu agama mendidik anak nanti?

Itu yang paling penting, tapi seringkali kita lupakan.

042: Tips ambil hati si Dia

Dulu waktu kecik-kecik, selalu kecil hati kalau Mama tak belikan apa yang aku minta. Merengek-rengek minta dibelikan itu ini, tapi Mama seolah-olah tak peduli. Tapi permintaan Kak Long sering sahaja ditunaikan. Kenapa? Kadang terdetik di hati, tidak sayangkah Mama padaku?

Selepas itu aku belajar, meminta juga perlu ada caranya. Kak Long sering menjaga hati Mama, lemah lembut tutur katanya, sering menolong Mama di dapur. Tentu sahaja hati Mama gembira dengan sikap Kak Long. Lalu apa yang Kak Long minta akan Mama tunaikan. Banding dengan sikapku yang sering merengek-rengek meminta sesuatu, dan panjang muncungnya jika tak ditunaikan, sudah pasti sikap Kak Long lebih disenangi Mama. Mama bukan tidak sayang padaku, tapi Mama mahu aku mencontohi Kak Long.

Sebentar lalu, aku tertanya-tanya. Mengapa doa-doaku tidak Allah kabulkan? Bila ku pinta ditunjukkan jalan yang terbaik, mengapa masih tiada jawapan daripada-Nya? Berdoa sudah, istikharah sudah. Mengapa hati ini masih keliru untuk membuat keputusan? Tidak sayangkah Allah padaku?

Rupanya pengajaran waktu kecil dahulu hampir sahaja aku lupakan. Terima kasih sahabat, kerana mengingatkan bahawa meminta itu ada cara dan adabnya. Seperti kisah Kak Long dan Mama, aku perlu 'mengambil hatiNya', jika mahu meminta. Barulah Allah bertambah sayang, dan memakbulkan permintaan hambaNya.

Jadi, mari kita belajar adab berdoa =)

• Ikhlas kerana Allah semata. (QS. Al-Mu’min: 14),(QS. Al-Bayyinnah: 5)
• Mengawalinya dengan pujian dan sanjungan kepada Allah, lalu diikuti dengan bacaan selawat kepada atas Rasulullah dan diakhiri dengannya.
• Bersungguh-sungguh dalam memanjatkan doa serta yakin akan dikabulkan
• Mendesak dengan penuh kerendahan dalam berdoa dan tidak terburu-buru.
• Menghadirkan hati dalam doa.
• Memanjatkan doa, baik dalam keadaan lapang maupun susah.
• Tidak boleh berdoa dan memohon sesuatu kecuali hanya kepada Allah semata.
• Tidak mendoakan keburukan kepada keluarga, harta, anak dan diri sendiri.
• Merendahkan suara ketika berdoa, yaitu antara samar dan keras. (QS. Al-A’raaf: 55, 205).
• Mengakui dosa yang telah diperbuat, lalu mohon ampunan atasnya, serta mengakui nikmat yang telah diterima dan bersyukur kepada Allah atas nikmat tersebut.
• Tidak membebani diri dalam membuat sajak dalam doa.
• Tadharru’ (merendahkan diri), khusyu’, raghbah (berharap untuk dikabulkan) dan rahbah (rasa takut tidak dikabulkan). (QS. Al-Anbiyaa’: 90).
• Mengembalikan (hak orang lain) yang dizhalimi disertai dengan taubat.
• Memanjatkan doa tiga kali.
• Menghadap Qiblat.
• Mengangkat kedua tangan dalam doa.
• Jika mungkin berwudhu’ terlebih dahulu sebelum berdoa.
• Tidak berlebih-lebihan dalam berdoa.
• Tawassul kepada Allah dengan Asmaa’-ul Husna dan sifat-sifatNya yang Maha Tinggi, atau dengan amal soleh yang pernah dikerjakannya sendiri atau dengan doa seorang soleh yang masih hidup dan berada di hadapannya.
• Makanan dan minuman serta pakaian yang dikenakan harus berasal dari usaha yang halal.
• Tidak berdoa untuk suatu dosa atau memutuskan silaturahmi.
• Menjauhi segala bentuk kemaksiatan.
• Harus menegakkan amar ma’ruf nahi munkar (menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemunkaran).
• Hendaklah orang yang berdoa memulai dengan mendoakan diri sendiri, jika dia hendak medoakan orang lain.
(www.eramuslim.com)


Muhasabah diri, adakah kita lakukan perkara yang sama ketika berdoa? Jika ya, alhamdulillah. Bersabarlah menunggu jawapan dariNya. Jika tidak, ayuh ubah cara kita meminta. Mari ambil hati si Dia =)