Tuesday, March 25, 2014

Terlalu banyak perkara di kepala. Tapi bila mahu menulis, apa pun tak keluar. Betullah, kalau dah kurang membaca, nak menulis pun jadi susah.

Baru tengok whatsapp dan facebook selepas kelas petang tadi. Baru tahu tentang 2 berita sedih hari ini.

- MH370 disahkan terhempas di lautan Hindi

- 529 orang ahli ikhwanul muslimin dan penyokong bekas Presiden Dr Mohamad Morsi dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan perampas Mesir


Hanya mampu mendoakan.

Aku yang naik flight banyak kali sejak degree dulu, sedikit sebanyak terasa kesannya.

Terfikir, bagaimana agaknya pengakhiran aku?




Saturday, March 15, 2014

Dulu, aku pernah teringin nak beli kereta kawalan jauh. Macam seronok je kalau dapat main. Nak sangat-sangat. Sanggup simpan duit semata-mata nak beli kereta tu. Jadi bila duit dah cukup, aku pun membeli kereta idaman kalbu. Bersinar-sinar mata bila sudah ada di tangan. Rasa macam tak percaya.

Tapi, lepas main 4, 5 kali, aku bosan. Sudahnya kereta itu hanya jadi perhiasan ditemani habuk dan sawang.

Dulu, aku pernah teringin pelihara arnab comel gebu. Macam seronok je kalau dapat bela. Balik rumah boleh tengok arnab comel lari-lari. Aku sanggup tunggu arnab adik aku bunting dan melahirkan anak, lalu aku ambil anaknya yang paling comel. Lepas itu aku bela sungguh-sungguh. Aku beli sangkar, bagi makan, bagi vitamin, basuh sangkar dan belajar cara menjaga arnab melalui internet. Begitu sekali.

Tapi, lepas beberapa bulan, aku jadi bosan. Sudahnya aku hantar arnab ke rumah mak untuk dijaga adik aku.

Dan perkara sebegini berlaku beberapa kali dalam hidup aku. Aku tertanya-tanya kenapa. Sebab aku malaskah? Cepat bosan? Cepat putus asa? Tak ada motivasi?

Mungkin ya.

Tapi satu yang aku baru mengerti. Sesuatu yang kita mahu, mungkin bukan sebenar-benarnya yang kita mahu. Mungkin nafsu. Mungkin hanya cemburu lepas melihat milik orang lain. Mungkin rasa ingin tahu perasaan memiliki sesuatu.

Sesuatu yang kita mahu, mungkin bukan sesuatu yang kita perlu.

Sebab itu kalau ingin sesuatu, usah terburu-buru.

Tahan dulu keinginan itu. Sampai suatu waktu, rasa itu mungkin sudah tidak ada. Dan tika itu hati akan lega. Ah, nasib baik aku tidak ikut kemahuan dulu.

Jadi bila tidak dapat memiliki sesuatu, bersabarlah. Kerana Allah itu lebih tahu, apa yang hati kita sebenar-benar mahu. Dan Allah lebih tahu, jika kita benar-benar layak memiliki sesuatu.

Friday, March 14, 2014

Orang kata kalau mahu berubah, hijrahlah.

Keluar dari kepompong selesa.

Tinggalkan manusia-manusia yang mengenali kita.

Tapi sebenarnya, perubahan itu datang dari diri.

Hijrahlah sejauh mana pun, tapi kalau diri malas berubah, maka selamanya kita masih kita yang semalam.

Friday, February 28, 2014

Kita terlalu banyak berkira-kira tentang masa depan.

Sampai fikir macam-macam, yang bukan-bukan.

Kenapa perlu takut dengan masa depan?

Sedangkan masa depan itu Allah yang menentukan.

Tugas kita, dengan masa sekarang.

Untuk mencari bahagia dalam kehidupan.

Hidup dengan yang tersayang.

Menikmati setiap saat yang dihabiskan.

Agar tiap saat itu tidak dibazirkan.

Bukankah masa sekarang itu anugerah dari Tuhan?

Friday, September 20, 2013

083: Fasa Baru di Manchester

Alhamdulillah.

Sudah seminggu di sini. Di bumi Manchester, United Kingdom.

Manchester selalu hujan. Wet and cold, kata mereka.

Masih mengumpul semangat meredah hujan dan kesejukan selama 25 minit setiap hari untuk ke kelas. Aku putuskan untuk berjalan kaki sahaja. Lebih jimat dan sihat.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa tiba-tiba aku di sini?

Aku sebenarnya menyambung pengajian sarjana di sini, setelah setahun lebih bertugas sebagai seorang guru.

Bukan jemu menjadi guru. Bahkan aku rindu.

Cuma hati aku masih kurang sesuatu.

Rutin yang sama setiap hari buat aku buntu. Jiwa aku beku.

Aku tahu bukan ini yang aku mahu.

Usia muda ini tidak mahu aku habiskan dengan bekerja semata-mata.

Aku sekali-kali tidak menyalahkan dunia pekerjaan. Tidak ada salahnya bekerja, jika niat dan perlaksanaannya betul.

Tapi pada aku, kehidupan ini lebih dari itu.

Aku mahu belajar lagi. Tentang kehidupan dan manusia.

Aku mahu pergi ke tempat yang belum pernah aku jejaki.

Aku mahu menemui manusia yang belum pernah aku kenali.

Aku mahu lihat sejauh mana aku boleh pergi.

Aku mahu mencari sesuatu untuk mengisi ruang-ruang kosong yang masih banyak dalam hati.

Aku tidak pasti adakah aku akan temui apa yang aku cari.

Tapi aku pasti, Allah itu selalu menemani.

Moga jiwa ini terus kuat dan tidak kenal putus asa.

Moga jalan ini tidak sia-sia dan menemui kebaikan.

Moga hijrah ini mengubah aku menjadi hamba yang lebih patuh pada-Nya.

Amin.

Sunday, March 17, 2013

082: Semangat

"Cikgu, petang ni kami lawan bola. Cikgu datang tengok ye."
"Kalau saya ada boleh menang ke?"
"Cikgu ada kami semangat. Mesti menang punya. Datang tau."

Waktu itu ada satu perasaan lain dalam diri aku. Aku rasa itu perasaan seorang ibu bila anak-anak minta datang ke hari sukan sekolah. Rasa nak peluk dan cakap kata semangat supaya menang.

Tapi aku tak dapat datang petang itu. Dan pasukan mereka kalah.

"Cikgu petang ni turun hoki tak?"
"Tak tahu lagi. Awak berlatih sendiri pun boleh kan?"
"Tak best lah cikgu takde."

Aku turun lewat. Masih tiada gol dari kedua-dua pasukan. Bila mereka nampak aku sampai...

"Cikgu datang! Main betul-betul!"
"Gol cepat! Cikgu tengok tu!"

Sekelip mata gol 3-2.

Aku senyum melihat semangat mereka.

Dan aku mula sedar, guru itu pengganti ibu bapa. Anak-anak yang berjaya selalunya mempunyai ibu bapa yang selalu menyokong. Dan aku mahu menjadi penyokong kepada kejayaan mereka.

Aku sedar marah itu hanya sia-sia, andai tiada nasihat dan motivasi yang aku berikan.

Mereka masih anak-anak, yang perlu kata-kata semangat dari aku, dari guru-guru.

Moga aku jadi guru yang begitu.

Yang menguatkan, bukan melemahkan.

Yang menaikkan semangat, bukan menjatuhkan.





Thursday, March 7, 2013

081: Aku mahu menulis

Dulu, masa aktif tulis blog, aku selalu pandang kebaikan atas semua yang berlaku pada aku.

Blog buat aku rasa mahu menulis apa pengajaran yang aku dapat hari itu.

Untuk aku kongsi pengajaran itu bersama pembaca aku.

Lalu hidup aku waktu itu terasa ada makna.

Kerana setiap hari aku belajar tentang kehidupan.

Tetapi bila sudah lama tidak menulis, aku seakan-akan lupa, bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya.

Aku yang tidak mencari.

Aku yang tidak belajar.

Kerana aku tidak berkongsi semua itu dengan sesiapa.

Dan hidup seakan-akan tidak ada makna.


Ah, aku mahu menulis semula.

Tapi tanggungjawab sering melebihi masa yang ada.


Sunday, November 11, 2012

Real man doesn't let his woman cry.

Stupid guy does.

Thursday, August 9, 2012

080: Luahan seorang guru

Kehidupan sebagai guru terlalu hectic bagi aku. Beban kerja, ditambah ragam pelajar yang semakin hari semakin menyakitkan hati.

Bukan tidak boleh bersabar. Tetapi kadang-kadang tekanan mengambil alih tindakan rasional.

Pesan seorang guru senior, "Setiap pagi sebelum mula kerja perlu refresh niat. Niat apa kita bekerja dan mengajar."

Pesan seseorang yang lain pula, "5 minit sebelum mula mengajar, pastikan kita beri nasihat. Tanya tentang solat dan sebagainya."

Aku cuba lakukan itu pada mulanya. Cuma bila beban kerja bertambah, bila terlalu banyak silibus untuk dikejar, aku semakin lupa tentang dua nasihat penting itu. Dalam fikiran hanya mengajar, mengajar, mengajar.

Sistem pendidikan sekarang terlalu banyak silibus bagi aku. Terlalu padat sehingga rasa sesak nafas. Tiada masa untuk uji kefahaman, untuk buat aktiviti menarik, untuk pelajar buat presentation etc. Ditambah lagi dengan sistem PBS (pentaksiran berasaskan sekolah) sekarang yang baik pada teori tetapi perlaksanaan gagal. Sistem PBS itu bagus tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki.

Untuk buat ujian setiap topik adalah mengarut. Untuk pastikan semua pelajar mencapai band yang dikehendaki, itu juga mengarut. Untuk membuat ulangan setiap kali pelajar gagal mencapai band yang dikehendaki, itu sangat mengarut. Bukan pelajar sahaja yang semput, guru pun begitu.

Kerja-kerja tambahan yang mengarut untuk guru patut dihapuskan. Menghias pentas untuk hari anugerah sehingga 2 pagi. Itu bukan kerja guru. BUKAN KERJA GURU.

Sekian luahan tekanan seorang guru.


Thursday, July 5, 2012

079: Saintis paling hebat

Suatu pagi, ketika mengajar kelas Tingkatan 1.

"If we don't eat anything for a week, we will become sick and eventually die."

Tiba-tiba, seorang pelajar lelaki mencelah.

"InshaAllah we will die."

Ah, malu sendiri. Baru tersedar kadangkala aku hanya mengajar Sains tanpa mengaitkan dengan Dia. Baru tersedar Allah adalah saintis yang Maha Hebat.

Baru teringat pemuda Kahfi tidak makan apa-apa untuk tempoh beratus tahun, tetapi masih hidup dengan kuasa Allah.

"InshaAllah we will die. Thanks for the reminder."

Aku senyum. Dia senyum.

Belajar sesuatu lagi hari ini.


* * * *

"Plants use carbon dioxide to produce oxygen. We use oxygen for respiration. So we should be thankful to plants for making oxygen for us."

Terhenti di situ. Tiba-tiba aku teringat sesuatu yang aku belajar beberapa hari lepas.

"But who create plants?"

Aku bertanya seisi kelas.

"Allah!!"

Mereka menjawab beramai-ramai. Semangat.

"We can survive until today because Allah gives us oxygen. And we don't have to pay for the oxygen. So don't forget to say alhamdulillah"

"Alhamdulillah...."

Kelas bergema dengan kalimah memuji Dia.

Senyum lagi.




Sunday, July 1, 2012

078: Kerja

Tiba-tiba rindu blog. Sudah terlalu lama tidak menulis. Bukan tiada cerita, tetapi masa yang ada sangat padat dengan pelbagai aktiviti dan kerja.

Alhamdulillah. Itu tandanya masih punya kudrat. Itu tandanya ada kerja. Itu tandanya masa tidak sia-sia.

Sudah sebulan mengajar di sini. Minggu ke-3 sakit tekak. Itu normal, kata cikgu-cikgu lama.

Aku mengajar Tingkatan 1 dan 2. Setakat ini alhamdulillah, tiada pelajar yang perangai tak tentu hala. Yang banyak cakap, yang nakal sikit, yang aktif, yang pasif, yang tersengih tiap masa, itu biasa. Aku seronok melayan kerenah pelajar.

Aku meminta pelajar memberi komen tentang pengajaran aku sepanjang sebulan ini. Alhamdulillah, kebanyakan komen positif. Ramai yang kata faham. Ada yang kata sudah suka dengan subjek aku. Ada yang kata seronok. Moga aku terus memberi yang terbaik untuk mereka. Aku masih belajar, sama seperti mereka.

Masa yang padat begini membuatkan aku tidak punya waktu untuk fikir soal jodoh. Duduk di sekolah yang jauh dari pekan dan kampung, kebarangkalian untuk kenal orang lain itu sangat kecil. Berjumpa dan bergaul dengan komuniti kecil yang sama setiap hari, termasuk hari minggu. Bagaimana agaknya hendak mencari.

"Cikgu bila nak kahwin?"
"Cikgu takde boyfriend lagi ke?"
"Cikgu moga cepat-cepat dapat jodoh."
"Saya tak sabar nak tengok cikgu kahwin."

Soalan begini sudah selalu benar ditanya pelajar.

"Saya tak nak fikir lagi. Buat masa sekarang saya nak fikir tentang pelajar saya sahaja."

Dan itu jawapan aku setiap kali.

Kerana itu memang kebenarannya.

Aku sudah berada di fasa yang aku tahu cinta itu tidak selalunya manis. Jodoh itu bukan bila banyak keserasian yang ada pada kau dan dia. Perkahwinan itu bukan dibina untuk sepuluh tahun sahaja.

Cinta, jodoh dan perkahwinan. Maknanya sangat besar.

Bukan hanya di dunia. Tapi mahu sampai ke syurga.

Kerana itu, selagi hati ini belum bersedia, aku mahu fokus pada kerja. Kerana kerja aku ini kerja yang mulia. Kerana kerja ini sudah buat aku jatuh cinta. Kerana kerja ini akan bawa aku ke syurga, andai aku ikhlas ingin mendapat redha-Nya.

Wednesday, February 22, 2012

077: Aku guru yang belajar

-SATU-

"Mana buku?"
Dia diam.
"Mana buku awak? Semalam saya pesan suruh bawak kan."
Suara aku tinggi sedikit. Geram kerana dia asyik diam tidak menjawab soalan.
"Buku dia basah, ustazah. Banjir." Kawan di sebelahnya mencelah.
"Aah ustazah. Buku saya pun basah." Budak lelaki di belakang pula menambah.
"Siapa rumah dia banjir lagi?" aku bertanya. Beberapa orang mengangkat tangan.
Aku terkedu. Sedikit sesal kerana meninggikan suara.

-DUA-

"Fahim, cepat buat soalan saya tulis kat depan tu. Dari tadi awak buat apa?"
Budak lelaki itu tersengih-sengih dan mengangkat pensil mula menulis. Selang beberapa minit, aku lihat bukunya masih kosong.
"Awak main ya kat belakang tu? Mari ke depan saya ni dan buat kerja."
Aku perhatikan dia buat kerja. Terkial-kial dia cuba menulis.
"Awak pandai tulis tak?"
Dia geleng. Sedih.
Ah, patutlah dia tidak menulis soalan yang aku beri.
Lantas aku duduk di sebelahnya. Pegang tangannya yang memegang pensel, dan bantunya menulis huruf-huruf yang mudah.
"Sekarang awak tulis huruf ni banyak-banyak sampai pandai. Ok?"
Dia angguk. Senyum.

-TIGA-

"Kenapa awak tak siapkan soalan ni? Tulis cepat. Dari tadi awak duduk rehat je saya tengok."
Tiba-tiba air matanya menitis.
"Eh kenapa menangis ni?" tanya aku. Risau pula buat anak orang menangis.
"Demam..." dia jawab perlahan.
Aku letakkan tangan di dahinya. Panas.
"Kenapa awak tak cakap dari tadi? Ya Allah. Tak apalah. Awak buat di rumah ya bila dah sihat nanti."
Dia angguk.
Aku mengelap air mata di pipinya. Ah, kesiannya.


Aku belajar sesuatu beberapa hari ini.
Setiap orang ada masalah dan alasan yang tersendiri.
Kerana itu untuk mengenali, kau harus mendekati, dan cuba memahami.
Dan untuk seorang guru, sabar itu terlalu perlu.

Saturday, February 4, 2012

076: Bahkan para sufi pun kaya raya

Islam tidak pernah menyarankan umatnya agar hidup menderita dalam kefakiran, kemiskinan dan kemelaratan. Sebaliknya Islam menyarankan kita supaya kaya raya dengan bekerja keras mencari harta dan menafkahkan sebahagian harta kepada orang yang memerlukan. Di sebalik harta yang kita miliki masih ada kewajipan yang perlu kita tunaikan kepada orang yang berhak menerimanya.


Kefakiran dapat membawa kepada kekafiran. Disebabkan kefakiran, orang muslim bertukar agama, tidak dapat mengamalkan ajaran Islam dengan baik, serta sebahagian orang menghalalkan segala cara untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Dengan kekayaan seseorang dapat masuk syurga. Dengan kekayaan juga, seseorang boleh masuk ke dalam neraka. Demikian halnya dengan kemiskinan. Kedua-duanya adalah ujian.

Oleh itu bekerja keraslah mencari harta yang diiringi dengan keredhaan-Nya.

Dalam Islam, orang soleh bukanlah orang yang meninggalkan harta, tetapi orang yang pandai menguruskan harta. Antara ciri orang yang pandai menguruskan harta;

1) Mencari harta dengan cara yang halal
2) Harta melimpah tidak menjadikannya sombong dan bongkak, tetapi rendah diri
3) Harta dijadikan sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. (guna harta untuk kebaikan Islam)
4) Harta sebagai cara untuk mengeratkan tali silaturrahim (sedekah)

Islam mengajar keseimbangan hidup dunia dan akhirat, agar giat bekerja dan beribadah dengan seimbang. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang sehingga dia berusaha mengubahnya sendiri, bukan hanya dengan berdoa dan bertawakal semata-mata.

- petikan buku "Bahkan Para Sufi Pun Kaya Raya".

Tuesday, January 31, 2012

075: Bento

Waktu kecil dulu, aku selalu rasa cemburu bila lihat kawan-kawan yang bawa bekal yang dimasak ibu sendiri. Walaupun kadang-kadang lauknya cuma biasa-biasa, tapi bagi aku itulah yang paling sedap. 

Masakan ibu. Tiada siapa yang boleh lawan.

Lalu bila aku sudah besar, aku sangat teringin untuk sediakan bekal untuk anak-anak aku ke sekolah. Yang dimasak sendiri oleh aku. Yang dihias comel-comel oleh aku. Yang dihembus doa kasih sayang aku.

Aku selalu lihat gambar-gambar lunch box atau orang Jepun panggil bento. 













Memang geram sebab comel sangat. Boleh la berlatih buat dari sekarang kan? 

Aku rasa sediakan bekal anak ke sekolah adalah kemestian untuk ibu-ibu. Sebab ia dapat eratkan hubungan dan salah satu cara untuk tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak :)


p/s: Hahaha. Mengapakah post ini keibuan sangat? Kahwin pun belum. Lalala~


Sunday, January 8, 2012

074: Duit atau bahagia?

"Kita kena ingat satu perkara. Percaya pada rezeki."

Terdiam aku mendengar kata-katanya. Tiada hujah untuk membidas. Terdetik di hati, inilah kata-kata yang aku tunggu. Kata-kata yang membuatkan aku kuat untuk mengambil keputusan yang satu.

Lalu aku nekad. Aku akan terus bekerja dengan MARA apabila dipanggil. Tiada lagi pening-pening mahu sambung Honours di Wellington. Tambahan lagi, terlalu banyak halangan untuk aku sambung belajar.

Jujurnya, salah satu sebab aku mahu sambung belajar adalah kerana perbezaan gaji ijazah biasa dan Honours. Sebab lainnya aku masih belum bersedia untuk bekerja, masih mahu belajar dan masih mahu tinggal di Wellington.

Aku tahu bunyinya agak mengada-ngada, tapi aku tidak mahu kembali ke Malaysia secepat ini. Serius. Aku masih mahu hidup dalam keadaan pergi kelas dan lab setiap hari, berjumpa kawan-kawan dan pensyarah yang baik-baik semuanya. setiap hujung bulan diberi elaun, tidur di bilik yang selesa, pergi usrah, pergi program, merantau ke setiap pelosok New Zealand. Aku rindu semua itu. Sumpah aku rindu. Er.. ya walau baru 2 minggu aku pulang.

Namun sejak diberi 'kaunseling' oleh beberapa kaunselor tidak bertauliah, aku mula akur pada takdir dan rezeki. Dan tiba-tiba bersemangat menjadi cikgu kimia yang berjaya. Betul. Aku tak tipu. *muka serius*

Tapi benarlah. Kita memang perlu percaya pada rezeki. Percaya pada Dia.

Yang penting, bahagia.

Gaji banyak kadang-kadang hati tak bahagia. Gaji sikit itu kadang-kadang lebih bahagia.

Pokok pangkalnya pada diri sendiri. Yang mencipta bahagia itu kita. Yang mencari bahagia itu kita.

Dan yang berdoa setiap hari agar Allah memberi bahagia itu juga kita.

Cuma perlu tanya hati, bahagia bagaimana yang kita cari?

Tuesday, December 6, 2011

073: Kemaskini ringkas

Tak sangka selepas lebih sebulan tidak mengemaskini blog, tulisan di blog ini masih dibaca. Malah bilangan follower juga bertambah 2 orang. Pencapaian yang cukup baik untuk blog tidak popular.

Satu perkara yang aku tak suka dengan diri sendiri, bila aku cakap nak tulis sesuatu topik dalam blog, pasti aku tidak akan tulis. Sama ada aku malas, tak ada idea, atau err... malas. Nah sudah sebulan tapi post mengenai Wellington masih belum aku tulis. Jadi untuk tidak mengecewakan siapa-siapa yang menanti (kalau ada), sila jangan percaya kalau aku kata mahu tulis topik begini begini.

Aku akan berkonvokesyen pada 13 Disember ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Banyak Allah tolong sepanjang aku belajar kat sini. Moga jadi muslim lebih baik selepas ini tanda berterima kasih pada Dia.

Pada 9 Disember ini, keluarga aku akan datang ke New Zealand sempena konvokesyen aku. Dan selama 10 hari di sini, aku akan membawa mereka berjalan-jalan. Dah lama aku simpan duit untuk saat ini. Moga jadi memori paling indah.

Tidak ada mood untuk menulis atau membaca blog. Noktah. Maafkan aku yang tidak sempurna ini. Isk.

Thursday, November 3, 2011

072: Blog dan bahasa

(Er hai blog. Lama tak jumpa.)

Sudah 9 hari berlalu sejak peperiksaan tamat. Peperiksaan terakhir. Harapnya begitulah. Semoga semester ini benar-benar semester yang terakhir.

9 hari ini juga aku kebosanan tahap maksima. Tidak pernah sangka bila tamat belajar kebosanannya dahsyat begini. Boleh naik gila.

Aku cuba mencari kerja tapi masih tiada jawapan. Duduk di rumah aku mula masak itu ini. Buat kek coklat, hantar dekat anak usrah yang masih berjuang dengan peperiksaan. Buat nasi kerabu ramai-ramai. Buat pizza. Buat seafood quiche. Pergi rumah senior, tolong buat model rumah yang direkanya untuk projek akhir. Pergi jalan-jalan tengok baju (dan semestinya membeli juga).

Niat mahu kemaskini blog. Tapi aku malas. Tak ada idea. Nak baca buku berilmiah sikit. Malas jugak. Tak tahu nak jadi apa. -___-"

Tapi hari ini aku kuatkan semangat untuk tulis blog. Dan aku berjaya! *tepuk tangan*

Aku berazam (cewah) untuk tulis segala kehidupan aku di Wellington. Segala tentang New Zealand yang aku tak pernah cerita. Mungkin cerita setahun atau 2 tahun dulu. Sebab bila aku fikir balik, bila lagi aku nak cerita pengalaman kat sini. Nanti balik Malaysia mungkin lama-kelamaan aku akan lupakan semua tu.

Lagipun bagi aku kehidupan selama 3 tahun di sini adalah satu fasa yang banyak memberi pengajaran kepada aku. Mengajar aku jadi lebih berdikari. Jadi lebih baik. Lebih ramah. Lebih matang.

Dan aku mahu menulis dalam bahasa yang baik. Maksudnya, ayat yang tersusun, ejaan yang betul, tatabahasa yang baik, bahasa yang indah. Aku kalau boleh mahu buang jauh-jauh bahasa rojak. Atau ejaan yang salah. Kadang-kadang memang aku buat jugak (macam kes ni ejaan jugak haha). Tapi aku sedang baiki sikit-sikit. Sebabnya, bagi aku kalau mahu menulis bahasa Inggeris, tulis lah sepenuhnya dalam Inggeris. Kalau nak tulis bahasa Melayu, tulis betul-betul dalam bahasa Melayu. Kalau masukkan dialog orang dalam bahasa Inggeris dalam penulisan bahasa Melayu, itu tak mengapa. Itu namanya penceritaan.

Wah macam skema kan aku.

Tapi mungkin kita tak tahu, penulisan dan bahasa yang baik akan membawa kita jauh dalam hidup. Penulis novel dan buku, mana ada tulis bahasa mat rempit atau rojak. Cuma zaman sekarang ni je yang muncul penulis novel internet yang suka gunakan bahasa begitu dalam novel. Wartawan, editor, semua tu gunakan bahasa formal. Dah alang-alang menulis blog, boleh lah asah teknik menulis jugak juga. Tak gitu?

Aku tahu ni hanya blog. Suka hati lah nak guna bahasa rojak atau bahasa rempit. Tapi sebenarnya bahasa 'skema' begini adalah lebih selesa untuk dibaca dan lebih jelas untuk difahami. Dan mungkin juga menunjukkan kematangan seseorang penulis itu. (wah nak kata aku matang la ni)

Tapi tak perlu pun ayat macam dalam suratkhabar. Sari berita penting ke apa. Bukan. Bahasa santai lebih sesuai di dalam blog.

Doakan aku rajin tulis blog selepas ini. Hehe


p/s: Aku suka je baca blog bahasa tak formal kalau blog tu menarik ^_^

Sunday, October 23, 2011

071: One fine day

Aku suka tempat yang tenang. Tak ramai orang. Tak sesak. Sebab tu aku bersyukur sangat datang Wellington. Sebab Wellington ni tak ramai orang macam Auckland.

Rumah sendiri adalah tempat paling tenang bagi aku. Tapi kalau bosan kat rumah, tempat yang aku suka untuk pergi cari ketenangan adalah laut, kedai buku, library dan hutan. Kalau ada lelaki yang suka date dengan aku tempat begini selepas kahwin, itu adalah bonus. 

Dan yang paling menarik, Wellington juga dekat dengan laut. Jalan kaki hanya beberapa minit. Kalau ke laut, biasanya kami akan bagi roti dekat burung dan itik yang kelaparan.


Aku suka tengok langit.

Besar gedabak roti manusia ni bagi. Ish3

Rasa macam bagi anak makan. Eh?

Makin banyak burung dan itik yang datang.

Wellington harbour.

Depan tu jeti. Pagi-pagi ada bot datang jual ikan.

Bot-bot di pelabuhan.

Bye. Nak balik dah.




p/s: Nanti mak aku datang masa grad, aku nak bawak pergi sini petang-petang bagi  burung makan. 

Friday, October 21, 2011

070: Cinta tiga segi

Di sebuah kampung bernama LUMO (Lowest Unoccupied Molecular Orbital), tinggal sepasang suami isteri yang hidup aman bahagia. Si suami bernama Carbon (C), manakala si isteri bernama Oxygen (O). Carbon dan Oxygen bercinta sejak di sekolah rendah lagi dan sangat mencintai satu sama lain. Hubungan mereka sangatlah kukuh, sekukuh triple bond.

CΞO

Disebabkan hubungan triple bond mereka berdua, hati mereka terasa begitu dekat sekali (low length) dan mereka begitu kerap bersama (high frequency) seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi.

Namun, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Walaupun baru setahun berkahwin, tetapi Carbon tetap merasakan jiwanya kosong (empty antibonding orbital). Eleh, sebenarnya bukan jiwa Carbon yang kosong, tapi dia masih mempunyai 3 tempat kosong. Mentang-mentanglah lelaki boleh beristeri 4, Carbon cuba menggatal dengan perempuan lain tanpa pengetahuan isterinya, Oxygen.

Metal adalah seorang gadis cantik berasal dari sebuah kampung bernama Transisi (Transition Metal). Metal sangat tertarik dengan Carbon, kerana Carbon merupakan seorang lelaki paling kacak di kampung LUMO. Metal berusaha menggoda Carbon untuk memenangi hatinya. Dia tidak peduli walaupun Carbon sudah beristeri. Apakan daya, dalam hati ada taman. Metal tidak sanggup lagi memendam rasa cinta dalam hatinya.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Carbon yang memang dasar buaya itu menerima cinta tulus gadis bernama Metal itu (delocalization of electrons from filled d orbitals on the metal to the ligand). Maka, berkahwinlah mereka berdua. Berbunga-bunga hati si Carbon kerana dapat memperisterikan gadis secantik Metal. Tidak seperti Oxygen yang gemuk gedempol.

Sampai hati Carbon menghina Oxygen sebegitu. Padahal si gemuk gedempol itulah yang dirindunya siang malam sebelum kedatangan Metal. Dasar lelaki, huh!

Lama kelamaan, rasa cinta antara Metal dan Carbon semakin kuat (pi-back bonding is strong). Carbon semakin mengabaikan Oxygen. Hubungan cinta yang kukuh antara Metal dan Carbon telah merenggangkan hubungan antara Carbon dan Oxygen.

Hubungan mereka berdua tidak lagi sekukuh triple bond, tapi nasib baik tak selemah double bond (C-O bond gets weaker, somewhere between CΞO and C=O). Hati mereka bertambah jauh (length increases) dan mereka tidak lagi bersama sekerap dahulu (frequency decreases). Semuanya berpunca dari Metal.

Namun Carbon tidaklah sekejam yang disangkakan. Dia tidak menceraikan Oxygen, kerana dia tahu wanita itu adalah wanita pertama yang berjaya mencuri hatinya. Cuma hubungan mereka tidak sekukuh triple bond, itu sahaja.

Marilah kita bersama-sama mendoakan agar hubungan mereka bertiga bahagia hingga ke akhir hayat.


p/s: It's chemistry-related. Aku sangat suka buat cerita berdasarkan konsep kimia. Kalau aku buat buku kumpulan cerpen kimia, ada sesiapa nak baca? Ha ha

p/s (2): another chemistry-related entry here

Sunday, October 16, 2011

069: Orang sabar juga ada perasaan.

Mama adalah manusia paling penyabar pernah aku jumpa.

Mama adalah perempuan yang akan sentiasa berbuat baik sekalipun kepada orang yang sering menyakitkan hatinya.

Mama tetap senyum dan diam, walau dia punya hak untuk melawan lantang. Mama tetap mengambil berat, sekalipun dia punya hak untuk tidak mempedulikan.

Itu mama yang aku kenal.

Dulu aku pernah marah dengan sikap mama. Kenapa tak lawan? Kenapa mama diam?

Tapi mama kata sabar. Mama tak mahu pertengkaran mengeruhkan hubungan.

Kata mama lagi, selagi mama mampu sabar, mama akan sabar. Walau apa pun yang dia buat, dia tetap orang penting dalam hidup mama.

Aku masih tak faham ketika itu. Kenapa mama perlu sabar sampai begitu. Dan aku tekad dalam hati, aku tidak akan jadi seperti mama.

Waktu itu aku memang kuat melawan. Kerana bagi aku, selagi kita sabar, selagi tidak melawan, selagi itu kita ditindas.

Bila semakin besar, perlahan-lahan berlaku perubahan tanpa aku sedar.

Aku hanya diam bila aku disakiti. Menangis sendiri bila diri dikhianati. Pujuk diri bila merajuk. Untuk melawan dan bersuara lantang jauh sekali.

Untuk beritahu pada dunia, bimbang dunia akan memandang serong padanya.

Untuk melawan dan menyakitkan kembali hatinya, bimbang hubungan keruh sampai bila-bila.

Aku sudah jadi seperti mama.

Kadang-kadang dunia ini tidak adil. Kita sering mengambil mudah orang yang sabar. Kerana dia sabar, jadi dia akan sabar walau apa pun yang kita buat. Kita boleh marah dia, sebab dia sabar. Kita boleh sakitkan hatinya, sebab dia sabar. Kita boleh ambil haknya, sebab dia sabar. Kita boleh layan dia ikut suka, sebab dia sabar.

Tapi kalau orang yang panas baran, orang yang kuat melawan, orang yang suka memerli lantang, kita selalu berhati-hati untuk tidak menyakitkan hatinya. Kita rasa perlu jaga hatinya, takut-takut dia marah. Takut dia naik angin.

Adakah perlu melawan baru kita tak disakiti? Adakah perlu pandai memerli pihak lawan, baru manusia pandai menjaga hati? Adakah perlu bermasam muka dan menghempas pintu, baru manusia takut melukakan hati?

Sabar itu memang tiada batasan. Tapi orang sabar juga punya perasaan. Dia bukan bodoh kerana tidak melawan. Tapi sayangnya mendalam. Dan kamu takkan faham.




p/s: Menjadi sabar bukan isunya. Tapi jangan menyakitkan hati orang, walaupun orang itu penyabar. Faham?