Dulu, aku pernah teringin nak beli kereta kawalan jauh. Macam seronok je kalau dapat main. Nak sangat-sangat. Sanggup simpan duit semata-mata nak beli kereta tu. Jadi bila duit dah cukup, aku pun membeli kereta idaman kalbu. Bersinar-sinar mata bila sudah ada di tangan. Rasa macam tak percaya.
Tapi, lepas main 4, 5 kali, aku bosan. Sudahnya kereta itu hanya jadi perhiasan ditemani habuk dan sawang.
Dulu, aku pernah teringin pelihara arnab comel gebu. Macam seronok je kalau dapat bela. Balik rumah boleh tengok arnab comel lari-lari. Aku sanggup tunggu arnab adik aku bunting dan melahirkan anak, lalu aku ambil anaknya yang paling comel. Lepas itu aku bela sungguh-sungguh. Aku beli sangkar, bagi makan, bagi vitamin, basuh sangkar dan belajar cara menjaga arnab melalui internet. Begitu sekali.
Tapi, lepas beberapa bulan, aku jadi bosan. Sudahnya aku hantar arnab ke rumah mak untuk dijaga adik aku.
Dan perkara sebegini berlaku beberapa kali dalam hidup aku. Aku tertanya-tanya kenapa. Sebab aku malaskah? Cepat bosan? Cepat putus asa? Tak ada motivasi?
Mungkin ya.
Tapi satu yang aku baru mengerti. Sesuatu yang kita mahu, mungkin bukan sebenar-benarnya yang kita mahu. Mungkin nafsu. Mungkin hanya cemburu lepas melihat milik orang lain. Mungkin rasa ingin tahu perasaan memiliki sesuatu.
Sesuatu yang kita mahu, mungkin bukan sesuatu yang kita perlu.
Sebab itu kalau ingin sesuatu, usah terburu-buru.
Tahan dulu keinginan itu. Sampai suatu waktu, rasa itu mungkin sudah tidak ada. Dan tika itu hati akan lega. Ah, nasib baik aku tidak ikut kemahuan dulu.
Jadi bila tidak dapat memiliki sesuatu, bersabarlah. Kerana Allah itu lebih tahu, apa yang hati kita sebenar-benar mahu. Dan Allah lebih tahu, jika kita benar-benar layak memiliki sesuatu.
Lirik lagu Jaga Orang Pu Jodoh - Zulie & Hairie
4 hours ago
0 pendengar:
Post a Comment