Sejak kecil, aku sangat suka menonton cerita seram dan thriller. Aku membesar dengan cerita X-Files. Fox Mulder dan Dana Scully adalah 2 watak yang sentiasa tersemat dalam kepala aku sehingga kini.
Kemudian abang-abang aku pula selalu menonton cerita sebegitu di rumah. Dan sudah tentu aku terikut sama menonton. Dan tidak sah kalau cerita seram ini tidak ditonton pada waktu malam dan ditutup semua lampu. Baru feeling, kata abang aku.
Dan aku juga gilakan cerita Final Destination dan Child's Play. Semua episod aku dah tengok.
Cerita kartun aku tak layan sangat.
Disebabkan aku sering bergelumang dengan cerita begitu sejak kecil, mimpi aku setiap malam mesti sangat menakutkan. Macam-macam jenis hantu dan makhluk pelik yang akan masuk dalam mimpi. Aku tidak pernah ingat mimpi yang indah-indah, tapi aku masih ingat mimpi-mimpi menakutkan itu walau sudah berpuluh tahun berlalu.
Aku juga jadi paranoid kesan cerita begitu, terutama Final Destination dan X-Files.
Setiap kali naik lif, aku akan terbayangkan kepala aku akan terputus kalau aku tak keluar cepat-cepat akibat tersekat di pintu.
Nampak paku di dinding, aku terbayangkan mata aku tercucuk paku itu kalau aku tak berhati-hati.
Nampak lori balak di highway, aku terbayangkan kemalangan ngeri yang akan berlaku kalau rantai yang mengikat tali balak itu putus.
Naik escalator, aku takut kalau aku tersepit antara tangga-tangga dan terputus itu ini.
Lihat cermin tandas di waktu malam, aku terbayangkan hantu-hantu menakutkan yang akan muncul di belakang tiba-tiba.
Aku takut naik roller coaster sebab terbayangkan apa akan jadi kalau ada kesilapan teknikal yang menyebabkan semua orang mati.
Fikiran aku waktu kecil memang begitu. Dan sebenarnya agak menakutkan kalau difikir kembali.
Aku tidak tahu sejak bila. Tapi aku nekad untuk tidak menonton cerita sebegitu lagi. Aku mahu 'cuci' kembali kepala aku yang mungkin sudah mereng ketika itu. Aku tidak mahu lagi terbayang benda yang bukan-bukan.
Selepas itu aku sudah berani naik lif dan escalator. Malah roller coaster juga aku sudah berani mencuba. Bukan setakat mencuba, aku mahu lagi dan lagi. Aku tidak lagi takut ke tandas pada waktu malam. Tidak takut membasuh baju di asrama pukul 3 pagi. Tidak takut berjalan seorang diri waktu malam. Dan mimpi-mimpi aku tidak lagi diganggu hantu dan makhluk menakutkan.
Tapi proses itu bukan proses yang sekejap. Agak lama untuk aku hilangkan pemikiran yang begitu. Dan sebenarnya aku cuba sedaya upaya untuk jadi berani. Aku beranikan diri basuh baju di asrama pukul 3 pagi, sebab aku mahu buktikan bahawa makhluk menakutkan itu hanya ada dalam TV. Aku cabar diri untuk naik roller coaster, untuk hilangkan rasa takut yang ada.
Sekarang minat aku pada cerita-cerita penyiasatan dan action. Dan juga drama-drama biasa tentang kehidupan. Sekurang-kurangnya cerita begitu tidak membuatkan fikiran aku jadi gila.
Semua ini sebenarnya memberi pengajaran buat aku.
Bila aku ada anak nanti, aku tidak akan membiarkan mereka menonton cerita begitu. Biarlah mereka gila menonton kartun sekalipun, itu sesuai dengan fitrah mereka.
Aku tidak mahu mereka takutkan hantu lebih dari Allah.
Aku tidak mahu mereka paranoid tentang benda-benda di sekeliling mereka.
Aku mahu mereka bermimpi yang indah-indah.
Dan punya kenangan waktu kecil yang indah-indah.
Sekurang-kurangnya, lebih indah dari aku.
Lirik lagu Kupupu - Dani Kurama
11 hours ago