Wednesday, February 22, 2012

077: Aku guru yang belajar

-SATU-

"Mana buku?"
Dia diam.
"Mana buku awak? Semalam saya pesan suruh bawak kan."
Suara aku tinggi sedikit. Geram kerana dia asyik diam tidak menjawab soalan.
"Buku dia basah, ustazah. Banjir." Kawan di sebelahnya mencelah.
"Aah ustazah. Buku saya pun basah." Budak lelaki di belakang pula menambah.
"Siapa rumah dia banjir lagi?" aku bertanya. Beberapa orang mengangkat tangan.
Aku terkedu. Sedikit sesal kerana meninggikan suara.

-DUA-

"Fahim, cepat buat soalan saya tulis kat depan tu. Dari tadi awak buat apa?"
Budak lelaki itu tersengih-sengih dan mengangkat pensil mula menulis. Selang beberapa minit, aku lihat bukunya masih kosong.
"Awak main ya kat belakang tu? Mari ke depan saya ni dan buat kerja."
Aku perhatikan dia buat kerja. Terkial-kial dia cuba menulis.
"Awak pandai tulis tak?"
Dia geleng. Sedih.
Ah, patutlah dia tidak menulis soalan yang aku beri.
Lantas aku duduk di sebelahnya. Pegang tangannya yang memegang pensel, dan bantunya menulis huruf-huruf yang mudah.
"Sekarang awak tulis huruf ni banyak-banyak sampai pandai. Ok?"
Dia angguk. Senyum.

-TIGA-

"Kenapa awak tak siapkan soalan ni? Tulis cepat. Dari tadi awak duduk rehat je saya tengok."
Tiba-tiba air matanya menitis.
"Eh kenapa menangis ni?" tanya aku. Risau pula buat anak orang menangis.
"Demam..." dia jawab perlahan.
Aku letakkan tangan di dahinya. Panas.
"Kenapa awak tak cakap dari tadi? Ya Allah. Tak apalah. Awak buat di rumah ya bila dah sihat nanti."
Dia angguk.
Aku mengelap air mata di pipinya. Ah, kesiannya.


Aku belajar sesuatu beberapa hari ini.
Setiap orang ada masalah dan alasan yang tersendiri.
Kerana itu untuk mengenali, kau harus mendekati, dan cuba memahami.
Dan untuk seorang guru, sabar itu terlalu perlu.

Saturday, February 4, 2012

076: Bahkan para sufi pun kaya raya

Islam tidak pernah menyarankan umatnya agar hidup menderita dalam kefakiran, kemiskinan dan kemelaratan. Sebaliknya Islam menyarankan kita supaya kaya raya dengan bekerja keras mencari harta dan menafkahkan sebahagian harta kepada orang yang memerlukan. Di sebalik harta yang kita miliki masih ada kewajipan yang perlu kita tunaikan kepada orang yang berhak menerimanya.


Kefakiran dapat membawa kepada kekafiran. Disebabkan kefakiran, orang muslim bertukar agama, tidak dapat mengamalkan ajaran Islam dengan baik, serta sebahagian orang menghalalkan segala cara untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Dengan kekayaan seseorang dapat masuk syurga. Dengan kekayaan juga, seseorang boleh masuk ke dalam neraka. Demikian halnya dengan kemiskinan. Kedua-duanya adalah ujian.

Oleh itu bekerja keraslah mencari harta yang diiringi dengan keredhaan-Nya.

Dalam Islam, orang soleh bukanlah orang yang meninggalkan harta, tetapi orang yang pandai menguruskan harta. Antara ciri orang yang pandai menguruskan harta;

1) Mencari harta dengan cara yang halal
2) Harta melimpah tidak menjadikannya sombong dan bongkak, tetapi rendah diri
3) Harta dijadikan sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. (guna harta untuk kebaikan Islam)
4) Harta sebagai cara untuk mengeratkan tali silaturrahim (sedekah)

Islam mengajar keseimbangan hidup dunia dan akhirat, agar giat bekerja dan beribadah dengan seimbang. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang sehingga dia berusaha mengubahnya sendiri, bukan hanya dengan berdoa dan bertawakal semata-mata.

- petikan buku "Bahkan Para Sufi Pun Kaya Raya".

Tuesday, January 31, 2012

075: Bento

Waktu kecil dulu, aku selalu rasa cemburu bila lihat kawan-kawan yang bawa bekal yang dimasak ibu sendiri. Walaupun kadang-kadang lauknya cuma biasa-biasa, tapi bagi aku itulah yang paling sedap. 

Masakan ibu. Tiada siapa yang boleh lawan.

Lalu bila aku sudah besar, aku sangat teringin untuk sediakan bekal untuk anak-anak aku ke sekolah. Yang dimasak sendiri oleh aku. Yang dihias comel-comel oleh aku. Yang dihembus doa kasih sayang aku.

Aku selalu lihat gambar-gambar lunch box atau orang Jepun panggil bento. 













Memang geram sebab comel sangat. Boleh la berlatih buat dari sekarang kan? 

Aku rasa sediakan bekal anak ke sekolah adalah kemestian untuk ibu-ibu. Sebab ia dapat eratkan hubungan dan salah satu cara untuk tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak :)


p/s: Hahaha. Mengapakah post ini keibuan sangat? Kahwin pun belum. Lalala~


Sunday, January 8, 2012

074: Duit atau bahagia?

"Kita kena ingat satu perkara. Percaya pada rezeki."

Terdiam aku mendengar kata-katanya. Tiada hujah untuk membidas. Terdetik di hati, inilah kata-kata yang aku tunggu. Kata-kata yang membuatkan aku kuat untuk mengambil keputusan yang satu.

Lalu aku nekad. Aku akan terus bekerja dengan MARA apabila dipanggil. Tiada lagi pening-pening mahu sambung Honours di Wellington. Tambahan lagi, terlalu banyak halangan untuk aku sambung belajar.

Jujurnya, salah satu sebab aku mahu sambung belajar adalah kerana perbezaan gaji ijazah biasa dan Honours. Sebab lainnya aku masih belum bersedia untuk bekerja, masih mahu belajar dan masih mahu tinggal di Wellington.

Aku tahu bunyinya agak mengada-ngada, tapi aku tidak mahu kembali ke Malaysia secepat ini. Serius. Aku masih mahu hidup dalam keadaan pergi kelas dan lab setiap hari, berjumpa kawan-kawan dan pensyarah yang baik-baik semuanya. setiap hujung bulan diberi elaun, tidur di bilik yang selesa, pergi usrah, pergi program, merantau ke setiap pelosok New Zealand. Aku rindu semua itu. Sumpah aku rindu. Er.. ya walau baru 2 minggu aku pulang.

Namun sejak diberi 'kaunseling' oleh beberapa kaunselor tidak bertauliah, aku mula akur pada takdir dan rezeki. Dan tiba-tiba bersemangat menjadi cikgu kimia yang berjaya. Betul. Aku tak tipu. *muka serius*

Tapi benarlah. Kita memang perlu percaya pada rezeki. Percaya pada Dia.

Yang penting, bahagia.

Gaji banyak kadang-kadang hati tak bahagia. Gaji sikit itu kadang-kadang lebih bahagia.

Pokok pangkalnya pada diri sendiri. Yang mencipta bahagia itu kita. Yang mencari bahagia itu kita.

Dan yang berdoa setiap hari agar Allah memberi bahagia itu juga kita.

Cuma perlu tanya hati, bahagia bagaimana yang kita cari?

Tuesday, December 6, 2011

073: Kemaskini ringkas

Tak sangka selepas lebih sebulan tidak mengemaskini blog, tulisan di blog ini masih dibaca. Malah bilangan follower juga bertambah 2 orang. Pencapaian yang cukup baik untuk blog tidak popular.

Satu perkara yang aku tak suka dengan diri sendiri, bila aku cakap nak tulis sesuatu topik dalam blog, pasti aku tidak akan tulis. Sama ada aku malas, tak ada idea, atau err... malas. Nah sudah sebulan tapi post mengenai Wellington masih belum aku tulis. Jadi untuk tidak mengecewakan siapa-siapa yang menanti (kalau ada), sila jangan percaya kalau aku kata mahu tulis topik begini begini.

Aku akan berkonvokesyen pada 13 Disember ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Banyak Allah tolong sepanjang aku belajar kat sini. Moga jadi muslim lebih baik selepas ini tanda berterima kasih pada Dia.

Pada 9 Disember ini, keluarga aku akan datang ke New Zealand sempena konvokesyen aku. Dan selama 10 hari di sini, aku akan membawa mereka berjalan-jalan. Dah lama aku simpan duit untuk saat ini. Moga jadi memori paling indah.

Tidak ada mood untuk menulis atau membaca blog. Noktah. Maafkan aku yang tidak sempurna ini. Isk.