"Ayah awak kerja apa?"
"Tukang masak kat kapal."
"Oh. Apa makanan yang paling awak suka yang ayah awak masak?"
"Lempeng."
Satu kelas gelakkan aku. Lawak sangatkah?
"Dalam banyak-banyak makanan, lempeng jugak yang awak suka. Cuba la makan western food ke, ape ke."
Dia masih tersenyum-senyum seolah-olah memperlekehkan aku. Dan seisi kelas masih menghabiskan saki baki ketawa yang ada.
Aku hanya diam. Tak mengapalah, mereka tak faham.
Dari kecil, aku jarang nampak muka ayah aku di rumah. Kerja di kapal membuatkan ayah aku terpaksa meninggalkan kami sekeluarga dalam tempoh yang lama. Kadang-kadang 6 bulan, kadang-kadang 8 bulan. Kemudian bila dapat cuti sebulan dua, ayah aku selalu balik kampung. Ayah aku orang kampung dan sebenarnya mahu kami sekeluarga menetap di kampung. Tapi mama tak setuju, dan kami berpindah di bandar sejak umur aku setahun. Ayah tak suka bandar, sebab itu ayah sering ke kampung.
Aku bersekolah asrama sejak Tingkatan 1. Kemudian ke kolej, dan kini di New Zealand. Dan tentunya aku dan ayah sangat jarang bertemu. Gambar raya kami sekeluarga tidak pernah ada gambar ayah bersama. Hari lahir kami tidak pernah ada ucapan dari ayah. Masalah duit, masalah belajar, apatah lagi masalah hati, ayah tidak pernah ambil tahu. Kerana ayah selalu jauh.
Bila ayah pulang dan aku di rumah, aku selalu rasa kekok. Aku tidak biasa berada di samping ayah. Aku tidak tahu mahu bualkan apa dengan ayah. Aku tidak biasa makan berdua dengan ayah. Dan hubungan kami adik-beradik dengan ayah jauh berbeza berbanding hubungan kami dengan mama.
Bila aku cium tangan ayah, ayah akan cium pipi aku. Dan waktu itu aku terasa lain benar. Aku tidak pernah dapat ciuman ayah untuk beberapa tahun. Dan entah bila aku akan dapat ciuman dari ayah lagi. Entah bulan depan, entah tahun depan.
Walaupun ayah tukang masak, ayah tidak pernah memasak di rumah. Mungkin ayah rindukan masakan mama. Dan aku pula tidak pernah meminta ayah memasak apa-apa untuk aku. Aku tidak tahu meminta dari ayah. Dan seingat aku, aku memang tidak pernah meminta apa-apa dari ayah sejak dulu.
Tapi ada satu hari itu, waktu aku bangun tidur, aku nampak ayah di dapur. Rupanya mama keluar beli barang. Dan ayah masak lempeng untuk kami.
Aku makan lempeng ayah. Walaupun rasanya biasa, tapi bagi aku lempeng itu istimewa. Itu masakan pertama ayah untuk aku. Dan aku makan lempeng ayah dengan banyaknya, kerana aku tahu mungkin selepas ini aku tidak dapat merasa lagi.
Benarlah. Selepas itu ayah tidak pernah masak apa-apa untuk kami. Ayah sakit. Badannya lemah tak macam dulu. Ayah berhenti kerja akhirnya.
Ayah semakin lupa tentang banyak perkara yang baru. Tentang nama cucu, kami belajar di mana, dan lain-lain. Tapi sering menyebut perkara lama. Tentang zaman mudanya, terutama waktu arwah nenek masih ada. Kadang-kadang ayah lupa kiblat arah mana. Kadang-kadang ayah lupa tandas di mana. Kadang-kadang ayah solat dua kali kerana lupa.
Doktor kata ayah ada Alzheimer.
Dan mungkin selepas ini ayah akan lupakan kami pula. Itu aku tidak tahu.
Yang aku tahu, aku akan sentiasa ingat ayah pernah masakkan lempeng untuk aku.
Masakan pertama ayah.
Lempeng istimewa ayah.
Lirik lagu Jaga Orang Pu Jodoh - Zulie & Hairie
4 hours ago
7 pendengar:
kasih ibu membawa ke syurga. kasih ayah membawa bahagia. sedih.
hana,
Semoga ayah kamu sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah.
(T_T)
wanie,
betul3
nur,
thanks nur :)
T_T
sedih baca cerita kakak, semoga ayah akak sentiasa diredhai Allah...
amin. terima kasih anis :)
ayah... walau bagaimana pun dier.. dier tetap yg terbaik tuk anak2nya.
someone,
yup. exactly :)
Post a Comment