Saturday, April 30, 2011

015: Jangan

Jangan anggap aku murah.

Tapi tinggikan aku dengan maruah.


Jangan hina aku jahil.

Tapi tunjukkan aku hak dan batil.


Jangan pandang aku lemah.

Tapi ajarkan aku tentang tabah.


Jangan tuduh aku gila.

Tapi bawalah aku mengenal bahagia.


Jangan prasangka aku curang.

Tapi belailah aku dengan sayang.


Jangan bilang aku derita.

Tapi berikan aku secebis cinta.


Jangan fikir aku leka.

Tapi pimpinlah aku menuju ke syurga.


Manusia itu selalu saja ingin menjatuh dan menyalahkan. Mengapa tidak memberi penyelesaian? Apa salahnya saling membantu walau tidak sehaluan?

Friday, April 29, 2011

014: Cinta yang indah

"I like you just the way you are. Not the way I want you to be."


Aku selalu ingin seseorang ucapkan ini pada aku. Kerana aku mahu dicintai kerana aku adalah aku. Aku tidak mahu menjadi bidadari dalam imaginasi orang lain. Aku mahu jadi diri aku. Untuk berubah sekalipun, aku mahu lakukan dengan cara aku. Dan sudah tentu perubahan itu adalah ke arah yang lebih baik.


Aku selalu mahu ucapkan ini pada seseorang itu. Kerana aku mahu mencintai kerana dia adalah dia. Aku tidak mahu dia jadi putera dalam imaginasi aku. Aku mahu dia jadi dirinya sendiri. Untuk berubah sekalipun, aku mahu dia lakukan dengan caranya sendiri. Dan perubahan itu harus ke arah yang lebih baik.


Aku mahu bahagia kerana dia adalah dia. Dia tidak perlu menjadi seseorang yang lain di hadapan aku. Aku mahu dia bergurau dengan caranya, ketawa dengan caranya, bercakap dengan caranya dan berjalan dengan caranya. Aku mahu mencintai segala tentang dirinya. Segala keburukannya aku tegur, bukan aku hina. Tapi masih, aku cintainya kerana dia adalah dia.


Seseorang itu masih samar-samar. Kerana belum masanya Allah tunjukkan kepadaku. Aku hanya perlu menanti dalam senyum.


Aku menulis tentang ini bukan bermakna aku ingin ke arah itu dalam masa terdekat ini. Aku selalu bergurau tentang perihal kahwin. Kalau kataku ingin kahwin awal, itu hanya gurauan sesama teman. Kerana bagiku gurauan sebegitu lebih manis. Jodoh pertemuan itu aku serahkan pada yang mengatur. Cepat atau lambat, itu semua sudah ditentukan.


Aku menulis kerana aku agungkan cinta. Usah sempitkan pemikiran dengan memikirkan cinta itu adalah couple semata-mata. Cinta itu luas. Cinta ibu bapa, cinta sesama teman, cinta suami dan isteri.


Cinta ibu dan bapa itu tanpa syarat. Ibumu tetap cintakan kamu biarpun kamu gagal dalam peperiksaan. Ibu akan mengusap belakang dengan lembut, memberi kata peransang agar kamu bangun biarpun berapa kali kamu terjatuh. Ayahmu tetap cintakan kamu biarpun kamu mandi lombong dengan kawan-kawan sampai lewat petang. Ayah akan memukul kamu, kerana pukul itu tanda cintanya pada kamu. Nyawa kamu lebih penting dari nyawanya sendiri.


Cinta sesama teman juga tanpa syarat. Kamu cintakan temanmu kerana dia adalah dia. Kamu cinta keserasian yang terbina, memori yang tercipta, dan suka duka yang dilalui bersama. Biar kadangkala ada yang terluka dan terasa hati, kamu akan tetap memaafkan setelah beberapa ketika. Semuanya kerana cinta.


Cinta suami isteri. Aku belum ada pengalaman. Tapi bagiku cinta itu terbina atas rasa cinta yang disulam tanggungjawab. Suami isteri itu boleh menjadi teman, dan bakal menjadi ibu dan bapa. Cinta itu harus tulus, jujur dan ikhlas. Segalanya dikongsi bersama. Sehidup dan semati bersama. Kerana itu, suami dan isteri perlu mencintai diri pasangannya, bukan bayangnya. Terima kekurangannya, sokong kelebihannya.


Dan aku mahu seseorang yang sweet macam gula. =)


Cinta itu indah, kamu tahu?

013: Dia bukan jahat, dia cuma buat silap.

Dulu, masa kecik-kecik, kami adik-beradik ada buat jadual tugasan. Kemas rumah, basuh pinggan, lipat kain, sapu sampah luar rumah, etc. Jadual ni dibuat oleh Kak Long aku atas inisiatif dia sendiri sebab nak tolong mama buat kerja rumah.

Aku kena basuh pinggan dan kemas dapur, Kak Long kemas rumah, Kak Ngah sapu sampah, Dee sapu sampah luar rumah. Mungkin sebab tu aku suka basuh pinggan sampai sekarang. Dee pulak kerja dia di luar kan, ramai la jiran-jiran tengok dia sapu sampah. Selalu lah dengar pujian menggunung yang dilemparkan kat adik aku.

"Rajinnya Dee tu. Hari-hari nampak dia sapu sampah."

"Kecik-kecik dah tolong mak buat kerja rumah. Bagusnya."

"Asyik muka Dee je sapu sampah. Yang lain tak buat kerja ke?"

Peh. Diikutkan hati aku masa tu nak je cakap betapa penatnya kami buat kerja dalam rumah. Adik aku sapu sampah kat halaman sekangkang kera itu dapat pujian di segenap pelosok kawasan kejiranan kami.

Ini tidak boleh jadi!

Sampai ke hari ini, walaupun kami dah lama pindah dari kawasan tu, setiap kali beraya ke sana, nama yang akan disebut hanyalah nama Dee.

"Oh inilah Dee yang rajin sapu sampah masa kecik-kecik dulu."

Sampai ke besar dorang hanya ingat satu benda; Dee adalah anak mama yang paling rajin sebab selalu nampak dia sapu sampah kat luar rumah. Nama aku jarang sangatlah sebab aku ni dulu pendiam. Dee ni pulak peramah. Yelah aku sedar aku dulu tak comel (sekarang comel ke masalahnye?) dan dipinggirkan oleh jiran sekampung. Sob sob.

Aku takdelah kisah sangat pun semua orang nak cakap pasal Dee. Cuma kadang-kadang aku terfikir, betapa manusia ni suka membuat kesimpulan kepada 1 benda yang dia lihat.

(Tulis banyak-banyak dari tadi tu cuma intro je)

Contoh bila kita nampak orang perempuan sembang gelak kuat-kuat. Terus kita assume perempuan ni gedik, tak sopan etc.

Bila kita lihat lelaki ni hisap rokok, kita terus mengata yang dia tu lelaki jahat.

Bila kita nampak perempuan tudung labuh couple, terus kita kutuk teruknya dia padahal budak sekolah agama.

Macam-macam.

Memang perempuan tak sepatutnya gelak dan sembang kuat-kuat. Memang lelaki tak sepatutnya hisap rokok. Memang budak tudung labuh tak sepatutnya couple. But who are we to judge?

Aku selalu tanam dalam diri aku, jangan cepat judge orang. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan. Kalau ada yang silap, kita tegur secara baik.

Kenapa perlu nak label orang ini jahat, orang itu tak baik? Why? Takkan kerana kesilapan dia yang satu, kita terus menghukum tanpa melihat seribu lagi kebaikan dia yang lain?

Bagi aku, sejahat mana pun seseorang kita nampak, ada kebaikan dalam dirinya yang mungkin kita tidak tahu. Dia bukan jahat, dia cuma buat silap. Dan tugas kita adalah untuk membantunya membetulkan kesalahan itu.

012: Apa jadi bila adik-beradik kita satu sekolah?

Aku ada 2 orang kakak dan 2 orang adik perempuan. Seorang adik perempuan aku itu umurnya jauh sedikit dari kami berempat. Ditakdirkan, kami berempat masuk sekolah asrama yang sama. Jarak umur kami dekat-dekat. Ada 1 tahun tu, 4 orang sama sekolah. Dee (bukan nama sebenar) form 1, aku form 3, Kak Ngah form 4 dan Kak Long form 5.

Disebabkan satu sekolah, hubungan kami menjadi sangat-sangat rapat. Masa tu saiz kami pun lebih kurang je, jadi kami selalu bertukar baju kurung. Kalau makanan dalam locker aku tiba-tiba hilang, mesti ada salah seorang yang ambil. Confirm. Kadang-kadang bila Dee tengah basuh baju, aku bagi baju-baju aku kat dia suruh dia basuh. Kadang-kadang bila merajuk dengan kawan 1 dorm, aku tidur bilik Kak Long. Setiap kali terserempak satu sama lain, kami selalu menggunakan isyarat tangan 'peace' sebagai tanda greeting. Maksud isyarat peace tu lebih kurang beginilah; 'Asyik-asyik jumpa muka kau je. Kat rumah, kat asrama, kat sekolah. Malas nak tegur peace je cukup'

Masa aku form 1, aku dapat surat cinta bawah meja. Surat cinta pertama aku pernah dapat sepanjang aku hidup. Tapi disebabkan aku takut berita tu sampai kat senior, aku koyakkan surat tu tak lama lepas tu. Aku takut dorang ingat aku bercinta dan burukkan nama Kak Long yang pegang jawatan dalam badan dakwah.

Semuanya sebab Kak Long pernah basuh baju aku untuk seminggu masa aku orientasi.

Masa aku form 3, aku kena marah dengan cikgu kat bilik guru sebab nak keluarkan duit biasiswa untuk bayar yuran Dee. Tapi lepas tu cikgu tu lembut hati lepas aku merayu dan bagitahu mak aku tak ada duit nak bayar yuran adik aku.

Semuanya sebab Kak Long pernah buat benda yang sama masa aku belum dapat biasiswa dulu.

Masa aku form 4, satu batch aku kena brainwash dengan form 5, batch kakak aku. Dorang tuduh kami buli form 4 baru. Padahal dorang yang selalu buli kakak aku tahun sebelumnya masa Kak Ngah baru masuk form 4. Aku rasa nak bersuara masa tu dan perli balik, tapi aku tak buat. Aku takut dorang buli kakak aku lagi.

Semuanya sebab Kak Long pernah lepaskan kawan-kawan batch aku yang buat salah sebab tak nak kawan-kawan lepaskan geram kat aku.

Masa aku form 3, aku kena rotan dengan ustazah sebab balik prep awal. Dan kejadian rotan itu disaksikan oleh Kak Long sambil gelak-gelak. Cis. Rupanya tak best ada adik-beradik satu sekolah.

Kadang-kadang kat rumah kami bergaduh batch siapa paling bagus, kadang-kadang kami mengumpat budak lelaki yang poyo kat sekolah, kadang-kadang kami kantoikan siapa yang pernah kena rotan kat mama.

Macam-macam kenangan kami empat beradik sepanjang kat sekolah dulu. Dan sesungguhnya aku sangat rindu untuk kembali ke zaman itu. Zaman di mana kami sentiasa ada untuk satu sama lain.

Thursday, April 28, 2011

011: Musim yang berlalu

Hati perlu bersiap sedia menerima apa saja. Perlu belajar untuk terima segalanya.


Sedia untuk dikecewakan.

Sedia untuk dilukakan.

Sedia untuk ditinggalkan.

Belajar menerima kekalahan.

Belajar menerima perpisahan.

Belajar menerima tohmahan.


Kerana bila ia terjadi, hati akan menganggapnya sebagai musim yang berlalu sahaja. Yang akan datang dan pergi dalam hidup. Norma kehidupan.

Hati perlu bersiap sedia dengan setiap musim. Bila dingin, hati tahu bagaimana untuk menghangatkannya kembali. Hati tidak akan merayu-rayu minta kehangatan matahari musim panas dulu.

Kerana musim dingin tidak akan selamanya di situ. Ia akan pergi setelah beberapa ketika. Musim bunga pula akan tiba. Mewarnai dan menceriakan kembali hati. Dan musim panas akan menyusul, menghangatkan hati yang beku.

Cuma, hati perlu bersabar. Dan beringat, musim dingin pasti akan hadir. Tapi musim bunga dan musim panas telah dijanjikan untuk kita selepas itu.

Jangan gusar wahai hati.

Sabarlah.

Dan kuatkan semangat!