Friday, July 29, 2011

057: Excuse me, I love you.

Beberapa jam yang lalu, ketika aku bergegas menuju ke lab...

"Excuse me?"

Aku pun berpaling bila seorang lelaki tiba-tiba menegur aku.

"Yes?" jawab aku.

"I just want to tell you this. That I love you." tutur lelaki itu sambil tersenyum.

Aku terkejut. Tapi hanya berdiri diam di situ. Aku pandang dia pelik.

"You are pretty. Amazing. The way you dress. You look bright. Look so soft. You make people happy just by looking at you. Oh so pretty. I love you."

Dia bersungguh-sungguh cakap begitu dengan aku. Seperti benar-benar kagum. Walaupun aku tak tahu apa yang dia kagum sangat tu.

"Err..err..thanks..thank you..".

Aku sebenarnya tak tahu nak kata apa masa tu. Aku cakap 'thank you' banyak kali.

Kemudian lelaki itu senyum dan berlalu pergi sambil melambai kepada aku.


Aku berjalan ke lab sambil ligat berfikir tentang kejadian tadi.

Dan sewaktu buat experiment tadi aku senyum sorang-sorang.


So random kan? But thanks to that guy, aku dapat buat experiment hari ini dengan senang hati. =)

Monday, July 25, 2011

056: Ada apa dengan Tahajjud Cinta?

Aku percaya, manusia itu mudah mengikut apa yang dilihatnya.

Sebab itulah aku cukup tak suka dengan cerita tentang rempit, bohsia, pelacur, dan sebagainya yang kononnya ingin memberi pengajaran kepada penonton. Dalam tu kau letak adegan atas katil, adegan bukak baju, adegan kena rogol, dan semua adegan yang tak senonoh, kemudian akhirnya kau buatlah akhirnya mereka bertaubat. Tak pun yang jahat tu mati. Tak pun bohsia tu kena HIV.

Tapi rasa-rasanya penonton insaf ke lepas tengok adegan tak senonoh kat tengah-tengah tu? Mungkin tak sampai 5% yang mengambil pengajaran. Itupun kalau ada pengajaran. Selebihnya, adegan-adegan begitu akan terus terbayang dalam fikiran. Aku cukup pelik bila adegan macam tu boleh lulus dan ditayangkan di seluruh negara.

Pengarah filem sepatutnya lebih menumpukan lakonan yang baik, dan pengakhiran yang baik, supaya mesej itu lebih jelas untuk disampaikan.

Baru-baru ini cerita Tahajjud Cinta ditayangkan di televisyen Malaysia. Aku tonton di youtube itupun setelah aku lihat banyak respon tentang cerita ini.

Okay aku tahu cerita ni memang banyak adegan yang orang tak setuju. Aku pun tak setuju. Perempuan pakai purdah boleh keluar holiday dengan yang bukan mahram. Lepas tu boleh pulak lelaki tu buka purdah Seri, lakonan Fauziah Gous. Seolah-olah cinta menghalalkan segalanya.

Tapi aku rilek dulu. Eh boleh pulak rilek-rilek. Bukannya apa, aku hanya mahu lihat kesudahan cerita ini. At some point, aku sangat teruja untuk lihat apa akan jadi kepada semua watak.

"Hey mana boleh! Cerita ini menghina agama!"

Kalau nak cakap pasal hina agama, cerita lain lagi teruk aku rasa. Tapi korang tengok jugak.

Okay point aku kat sini sebenarnya macam ni. Aku sukakan cerita yang menggambarkan Islam itu indah. Keluarga yang mengamalkan Islam itu bahagia. Supaya manusia yang tak faham dan takde ilmu, dia akan berfikir, "Oh Islam ni begini rupanya." Dan mungkin boleh mengubah persepsi dia bahawa Islam ni bestnyaaaa ohhh. *over*


Cakap pasal Tahajjud Cinta, aku rasa tak best bila isteri-isteri Ustaz Shauki tu seolah-olah hidup dalam tekanan dan kemurungan. Muka tak happy. Muka takut dengan Ustaz Shauki. *mungkin la jugak muka hormat. entahlah*

Seolah-olah bila kita mengamalkan prinsip keluarga Islam, kita kena jadi macam tu.

Tak ada gurau senda. Tak ada kasih sayang.

Aku faham pengarah tu buat watak Ustaz Shauki jadi macam tu.

Tapi macam aku cakap, bila cerita itu menggambarkan yang tak elok, maka itulah yang penonton fikir. Macam kes ni jugak, penonton (seperti aku) akan membuat kesimpulan yang begitu.

"Ah tak nak lah kahwin dengan ustaz. Tak happy pun. Takde gurau-gurau."

"Kan aku dah cakap poligami tu takkan bahagia. Tengok la cerita ni. Contoh depan mata."

Haa mungkin fikiran-fikiran begini akan keluar. *walaupun aku reka. hikhik. hey tapi betul apa*

Kan best kalau ada cerita yang tunjuk bahagianya keluarga yang mengamalkan Islam yang betul-betul Islam. Yang tunjuk Islam tu bukan hanya pergi masjid tetapi jugak merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Kan best kalau ada cerita yang tunjuk suami yang mengikut contoh Rasulullah. Rasulullah dulu kalau isteri masak tak sedap, dia senyum je. Baju basuh sendiri. Selalu bergurau dengan isteri. Sangat adil dengan isteri-isterinya. Malah isteri-isterinya saling menyayangi  dan menghormati antara satu sama lain. Keluarga poligami yang bahagia.

Aku suka cerita Nur Kasih sebab keluarga Adam dan Aidil tu nampak bahagia je. Walaupun ada macam-macam konflik, tapi aku suka mesej-mesej yang disampaikan.

"Banyak songeh lah. Filem ni mestilah ada variasi. Takkan nak baik je semua."

Ya, kena baik. Maksud aku, adegan-adegan tak senonoh tu tak payah letak. Tak bagi pengajaran pun. Boleh je nak buat cerita best kalau tampilkan watak dan mesej yang baik. Contoh paling baik filem Ketika Cinta Bertasbih. Best kan cerita tu? Kan? Kan? *tolonglah cakap best. isk2*

"Kalau kau terer sangat buatlah cerita sendiri," kata korang-korang yang tak puas hati.

Ah, ni aku rasa nak jadi pengarah filem ni. Hehehe... Mungkin orang yang faham agama pun perlu ada ilmu untuk buat filem. Paling kurang, buat video. Kita perlukan rijal yang berkualiti dari semua sudut. Barulah Islam tersebar dengan gemilangnya. Cewah.

Kita pun sebagai penonton, cubalah tengok cerita yang baik-baik. Kalau cerita merepek dan sah-sah tak senonoh, tak payah support pun takpe. Tambah dosa.

Satu lagi, tak payah la poyo sangat asyik nak pergi tengok wayang. Membazir. Baik pergi makan. Tak pun sedekah kat anak yatim. Bertambah pahala. *eh macam out of topic je. err err takpe kan?*

Sunday, July 24, 2011

055: Andai aku mati

Masa aku balik dari Dunedin tempoh hari, aku naik flight bersama seorang senior. Hanya dua orang. Yang lain telah pulang lebih awal. Lagi 10 minit (roughly) nak mendarat, pilot memberitahu flight akan mendarat di Christchurch kerana Wellington diberitakan ada angin ribut. Sehari sebelum itu, ada pula berita tentang earthquake di Taupo (beberapa jam dari Welly) dan tornado di Wellington.

Tiba-tiba tak jadi pulak. Kononnya mendarat di Palmerston North dan bas ke Welly akan disediakan untuk kami. Beberapa kali tukar plan. Lastly, flight sudah dibenarkan mendarat di Welly sebab keadaan sudah selamat. Semua penumpang yang tak puas hati tadi bersorak gembira. Aku pun mestilah gembira sebab aku ada kelas pagi tu. Selamba je balik beberapa jam sebelum kelas.

Wellington memang betul-betul tepi laut. Jadi sebelum mendarat, kedudukan antara flight dan laut sangat-sangat dekat. Mula-mula memang gerun, tapi sebab sudah beberapa kali naik flight, pemandangan begitu sudah biasa bagi aku.

Tapi pagi itu keadaannya lain. Beberapa minit sebelum mendarat, flight tiba-tiba bergoyang dengan sangat kuat. Lama. Aku menggenggam erat tangan senior di sebelah. Muka sudah pucat lesi. Terdengar pula suara kanak-kanak menangis dengan kuat.

Beberapa minit masih begitu keadaannya. Masih bergoyang disebabkan angin yang menggila. Aku tidak putus berdoa dalam hati. Tangan senior makin digenggam erat. Aku tidak lagi berani memandang ke luar kerana hanya laut yang kelihatan. Dan jaraknya memang sangat dekat.

Aku mengucap beberapa kali. Bertaubat sepenuh hati. Memikirkan keadaaan mama dan keluarga andai aku pergi. Menghitung sudah cukupkah bekalan diri.

"Ya Allah, selamatkanlah kami. Tapi andai aku pergi, masukkan aku dalam golongan yang diredhai."

Aku mengulang-ulang begitu beberapa kali. Bagai mahu menangis, tapi tiada air mata yang keluar.

Setelah beberapa ketika, flight mendarat dengan selamat walaupun terasa kuat dentuman sewaktu mencecah landasan.

Alhamdulillah! Alhamdulillah!

Aku menghembus nafas lega. Tapi perasaan takut yang bercampur baur tadi masih belum hilang dari raut wajah.

Sewaktu dalam bas ke rumah masing-masing, kami hanya berbual sekejap. Tapi diam yang lebih banyak. Aku tahu kami masing-masing memikirkan perkara yang sama.

Andai aku mati tadi, bahagia atau sengsara yang menanti?

Tuesday, July 19, 2011

054: Bila demam datang

Aku rindukan zaman sekolah rendah yang bila demam aku tak payah pergi sekolah.

Hanya suruh mama tulis surat kata aku demam. (Yang sebenarnya aku jugak yang tulis. Mama tinggal tandatangan je.)

Lepas tu duduk rumah, berehat, dan mama akan buatkan bubur nasi.

Mama akan sapukan minyak angin dekat kepala, dan picit sehingga pening hilang.

Mama akan kucup dahi beberapa kali tanda sayang.


Sekarang walaupun demam dan tak payah tulis surat pun kalau tak nak datang kelas, tapi kena gagahkan diri jugak untuk datang.

Risau kalau ketinggalan pelajaran.

Risau experiment yang perlu disiapkan.

Risau lab report yang perlu dihantar.

Panadol sentiasa ada dalam beg kalau-kalau sakit datang.

Balik rumah tiada mama untuk masakkan bubur. Kalau nak masak sendiri. Kalau tak larat, makanlah apa ada.

Tiada mama untuk picitkan kepala. Picit kepala sendiri. Sorang-sorang.



Seronoknya jadi budak kecik kan?



Di sini aku jarang demam. Sabar. Tahan. Ini penghapus dosa.

Monday, July 18, 2011

053: Winter Trip 2011 (Part 2)

Hari 3 (4 Julai 2011)

Awal-awal pagi lagi kami sudah bertolak ke Coronet Peak. 1 van dan 1 mpv. Jalan tidak bersalji, tapi keadaan tepi jalan yang lecak menyebabkan van kami tersekat 2 kali. Mujur ada lelaki Inggeris yang berhenti untuk membantu kami menolak van. Alhamdulillah. Sampai The Remarkable, hati aku sedikit kecewa. Salji masih belum tebal. Tapi bolehlah untuk bermain ski dan snowboard. Tahun lepas salji di Mount Ruapehu lebih tebal menyebabkan pemandangan keliling lebih cantik.

Main salji memang best. Tapi kaki aku membeku walaupun aku pakai boots. Sakitnya toksah cerita. Kaki beku pun aku masih boleh bergembira berguling-guling di atas salji dan membaling salji kepada orang lain bila berpeluang. Aku suka salji. Sangat-sangat. Selepas makan dan solat, kami bertolak ke Dunny (Dunedin). Sampai sudah lewat malam. Aku tidak kenal langsung orang-orang Dunny. Namun walaupun baru kali pertama berjumpa, kami disambut dan dilayan dengan sangat baik oleh tuan rumah. Baiknya orang-orang Dunny ni. Kami bertaaruf sebentar dengan tuan rumah. Selepas itu makan dan tidur dalam kesejukan walaupun tidur dalam sleeping bag. Oh sejuknya Dunny.

Best kot main benda ni.


Orang ramai bermain ski.



Hari 4 (5 Julai 3011)

Dunny sangat sejuk berbanding Welly. Aku sentiasa keluar dengan gloves dan muffler, yang sangat jarang dibuat di Welly. Selepas sarapan kami pergi ke Baldwin Street, The World's Steepest Street. Siap masuk world record tau. Jalan ni sangat-sangat curam. Boleh bergolek-golek kalau nak. Tapi aku tak buat la. Buang tebiat pulak kalau buat.

Kemudian kami ke kedai cenderamata berhampiran. Junior beli macam-macam. Senior macam aku ni dah tak rasa nak beli sebab masa tahun pertama dulu dah banyak sangat beli. Tambah lagi duit tak cukup nak shopping bagai. Isk. Aku hanya beli sijil Baldwin Street, sekadar syarat dah datang sini. Tak penting pun sijil tu. Aku saja mengada.

Jalan tercuram di dunia.

Disebabkan semua orang lapar, kami berhenti makan di Tokyo Garden. Tapi sedih sikit cerita pasal makan kat sini. Mula-mula main makan je sebab dicadangkan oleh orang Dunny sendiri. Tak fikir sangat. Tapi lepas tu aku menyesal sebab tak berhati-hati pilih tempat makan. Kat Tokyo Garden ni jual daging babi jugak. Walaupun tak masak sekali, tapi sudah semestinya peralatan yang digunakan adalah sama. Tak samak. Yakni haramlah hukumnya. Walaupun makan ayam, tapi tekak dan perut rasa lain macam selepas aku sedar yang aku tak patut makan situ. Haish. Sampai sekarang aku menyesal. Jadi, moralnya, jangan main ikut orang je.

Selepas itu kami ke Cadbury's World. NZD15 untuk masuk. Kami dibawa tour di dalam kilang selama 1 jam 15 minit untuk melihat cara pemprosesan coklat yang digilai ramai ini. Siap ada kuiz. Siapa teka dapat coklat. Lepas tu dapat pulak merasa coklat yang baru diproses. Aku mintak 2. Tak perlu malu sebab nanti kita juga yang lapar. Hihi. Lepas tu macam biasa sesi bergambar. Tapi kat luar je lah. Dalam kilang tak boleh tangkap gambar.

Beli kat sini murah sikit. Tapi aku tak beli pun.

Kenderaan waktu dulu yang digunakan oleh syarikat Cadbury.


Kemudian kami ke Otago University, tempat sahabat yang kami tumpang belajar. Course utama di universiti ini majoritinya adalah health science - medicine, anatomy, dentistry, pharmacology etc. Kami menangkap gambar di kawasan sekitar universiti sebab pemandangan di sini sangat-sangat cantik. Aku rasa macam dekat UK dah.
The clock tower.






Malamnya pula, kami pergi tengok glowworm. Apakah itu glowworm?

"A glowworm is the larvae stage in the lifecycle of a two-winged insect. A glowworm uses its glow to attract food and to burn off its waste. It's tail glows because of bioluminescence, which is a reaction between the chemicals given off by the glowworm and the oxygen in the air. This chemical reaction produces light, which the glowworm can control by reducing the oxygen to the light organ. " (http://www.waitomo.com/Waitomo-glow-worm.aspx)

Aku memang dah lama mengidam nak tengok glowworm ni. Bila dah tengok, subhanallah. Tak tergambar dek kata-kata. Macam tengok berjuta bintang di langit waktu malam yang pekat. Begitulah. Rasa nak menangis lihat luar biasanya ciptaan Allah. Melihat glowworm adalah antara perkara yang paling aku hargai dalam jaulah kali ni.
Subhanallah.

Cantik sangat-sangat kan? Glowworm ini hanya terdapat di New Zealand dan Australia.



(to be continued)

p/s: Aku baru menyedari hakikat bahawa aku memang failed bab cerita tentang travel. Dan aku malas upload gambar. Sebab tu blog aku tak banyak gambar. Tapi post kali ni aku letak banyak la jugak. Baik kan aku.

Sunday, July 17, 2011

052: Harga sebuah pelukan

Aku teramat rindu pelukan itu.

Pelukan kasih sayang mama sewaktu melepaskan aku ke New Zealand.

Aku masih ingat pelukan itu.

Pelukan hangat kak long sewaktu aku menangis di sisinya kerana hati yang dilukai teman.

Aku dambakan pelukan itu.

Pelukan ukhwah kakak-kakak usrah sewaktu jiwa masih kosong di bumi perantauan.

Bagi aku pelukan itu punya kuasanya yang tersendiri. Yang sukar untuk aku ungkap dengan kata-kata.

Kita mungkin boleh bersalam dengan sesiapa sahaja. Tapi untuk memeluk seseorang, ia memerlukan kasih sayang. Sayang yang lahir dari hati yang ikhlas.

Dan pelukan kasih sayang itu boleh mencairkan hati sesiapa sahaja yang merasa.

Antara perkara yang buat aku tertarik dengan usrah pada mulanya, adalah kerana pelukan kakak-kakak itu. Walau baru kenal sehari dua, tapi hangatnya pelukan itu aku masih boleh rasakan. Yang buat aku fikir, ah.. indahnya ukhwah kalian. Buat hati runtun kerana keluarga yang kejauhan. Namun lekas-lekas runtun itu kutepis, pabila keluarga baru tersenyum di depan mata. Yang mengambil berat bagai darah daging sendiri.

Dan ukhwah itu tersangat indah bagiku, kerana ia titik mula aku mendekatkan diri dengan Tuhan. Yang mengajar aku pengajaran tentang kehidupan. Yang buat aku kenal, apa itu ukhwah yang sebenar.

"Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, maka dia memperolehi kemanisan iman: Allah dan RasulNya lebih dikasihi olehnya daripada selainnya, dan dia mengasihi seseorang kerana Allah, dan dia benci untuk  kembali kepada kufur sebagaimana dia benci untuk dilontarkan ke dalam api neraka." (Riwayat Al-Bukhari)

Kita tidak akan memperolehi kelazatan iman seandainya tidak mengasihi seseorang itu kerana Allah.

"Bagaimana mengasihi seseorang itu kerana Allah?" seorang anak usrah aku bertanya sewaktu aku membacakan hadis ini kepada mereka.

"Berlapang dada, sabar, tolong-menolong, itsar (melebihkan orang lain dari diri sendiri), dan banyak lagi. Berlapang dada itu merupakan serendah-rendah ukhwah. Andai tidak dapat berlapang dada, maka kita belum menyayangi sahabat kita kerana Allah. Nak berlapang dada pun kadang-kadang kita tak mampu, apatah lagi mahu melebihkan kawan lebih dari diri sendiri. Betapa banyak lagi usaha yang perlu kita lakukan untuk mendapat title 'ukhwah fillah' itu."

Aku masih ingat lagi sewaktu jaulah ke Dunedin tempoh hari. Aku menumpang di rumah sahabat yang belajar di sana. Aku lihat mereka akan berpelukan sebelum ke kelas. Bila ada kawan serumah yang baru pulang, maka akan disambut kawan itu dengan pelukan. Bila kawan itu menghadapi masalah, maka dihadiahkan pelukan untuk menenangkannya.

Pelukan itu bukan dibuat-buat. Tapi aku dapat lihat betapa pelukan itu menyatukan hati-hati mereka.

Aku, bukanlah seseorang yang akan memeluk orang lain bila berjumpa. Jujurnya, aku tidak pandai berbuat begitu. Terasa janggal.

Tapi kini, tiap kali bersalam, aku mahu memeluk orang-orang keliling yang aku sayang. Walau janggal, tapi aku mahu cuba. Kerana pelukan itu akan menyebarkan rasa sayang. Pelukan itu buat kita rasa kehangatan ukhwah.

Pelukan itu istimewa. Yang mungkin aku, kamu dan kamu, selama ini tidak pernah nampak besarnya peranan sebuah pelukan.

p/s: Bila jadi seorang ibu, peluklah anak setiap hari, kerana 1 minit sentuhan itu lebih bermakna dari 5 minit kata-kata.

Wednesday, July 13, 2011

051: Ignore the pain

Bila kita sakit, tapi kesakitan itu perlu dilupakan dan ditahan, demi sesuatu yang lebih besar.

Bila sakit itu kadangkala menggigit tiap urat saraf.

Bila sakit itu buat badan hampir menggigil.

Begitulah.

Pernah rasa?




Ah, kenapa sakit itu perlu datang bila aku nak buat lab ni? Isk. Sedih.

Tuesday, July 12, 2011

050: Winter Trip 2011 (Part 1)

Walaupun baru 10 hari menjauh, tapi hati terasa rindu mahu menjengah blog ini. Rindu untuk mencoret sesuatu. Rindu membaca tulisan sahabat penulis yang lain. Tetapi kekangan waktu membataskan aku.

Aku baru sahaja pulang dari Dunedin, New Zealand. Sebenarnya percutian ini bukanlah benar-benar dikatakan 'holiday'. Kerana aku ada program selama 3 hari di Dunedin, yang menyebabkan aku terpaksa melangkah keluar dari rumah di saat cuti yang sejuk begini. Post sebelum ini sengaja mahu menggembirakan hati sendiri. Tapi memang benar aku main salji di Coronet Peak, Queenstown bersama beberapa orang junior dan sahabat. Sudah tentu junior yang ghairah bermain ski dan snowboard memandangkan ini kali pertama mereka bertemu salji. Aku mahu menjimatkan duit, jadi aku hanya bermain perang salji bersama senior yang juga malas menghabiskan duit.

Terlalu banyak perkara yang mahu dikongsikan. Pengalaman yang sukar dicari ganti. Yang membuatkan aku bersyukur kerana aku memilih untuk mengikuti jaulah ini.
Post ini akan mempunyai beberapa siri. Aku mahu mencatatkan apa yang aku lalui. Untuk bacaan hari kemudian. Mungkin agak bosan untuk kalian.

Hari 1 (2 Julai 2011)
  1. 7 orang sahabat Welly (Wellington) berkumpul kemudian mengambil flight ke Christchurch. Sampai pukul 6 petang dan sudah gelap. Sekarang winter. Waktu siang memang pendek.
  2. Flight ke Queenstown pukul 8 pagi esok. Jadi kami semua tidur di airport Christchurch. Dihalau 2 kali kerana tidur di tempat yang tidak dibenarkan. Betul-betul rasa merempat.
  3. Akhirnya kami tidur di kawasan rehat yang disediakan. Kawasan tersebut kecil manakala manusia yang merempat ramai. Kami tidur menggunakan sleeping bag yang dibawa.
  4. Disebabkan kawasan itu betul-betul sebelah pintu, maka angin sejuk meluru masuk setiap kali pintu itu terbuka. Pakai sleeping bag pun masih menggigil menahan sejuk. Orang ramai yang keluar masuk dengan troli menghasilkan bunyi bising yang sukar membuat kami lelap. Ada pula manusia yang bersembang dengan volume yang maksimum di kawasan sebelah. Aku cuba untuk tidur tapi tak boleh.
  5. Bila aku jenguk kepala keluar dari sleeping bag, seorang lelaki tidur di sebelah kanan aku. Sebelah kiri aku adalah adik-adik yang keletihan yang bersama-sama dari Welly. Aku letak beg besar aku menjadi penghadang antara aku dan lelaki itu. Nasib baik tak sakit jantung tengok lelaki tidur betul-betul depan mata.
  6. Aku hanya tidur selama 1 jam pada malam itu.
Hari 2 (3 Julai 2011)
  1. Flight ke Queenstown. Bila sampai kami disambut oleh sahabat dari Auckland. Terus bergerak ke penginapan.
  2. Jalan-jalan sebentar di Lake Wakatipu. Tak sampai 5 minit jalan kaki dari tempat kami menginap. Subhanallah. Lake Wakatipu sangat cantik.
  3. Kami sempat bertaaruf bersama sahabat Auckland. Kesemuanya perempuan.Ini kali pertama kami bertemu. Kemudian ada games untuk merapatkan ukhwah antara kami.
  4. Walaupun ramai junior yang datang dari Auckland, tapi kesemua mereka bermuka matang. Jauh lebih matang dari aku. Aku pelik. Adakah aku terlalu awet muda? Ehem.
  5. Usai solat dan makan pasta secara berjemaah, kami bertolak ke Puzzling World di Wanaka yang mengambil masa selama 2 jam. Dalam Puzzling World ada maze, dan pelbagai illusion yang menakjubkan. 15 dollars sahaja untuk masuk.
  6. Sebelum itu kami ke Budget Ski Rental untuk menyewa peralatan ski dan snowboard kerana kami akan ke The Remarkable, Coronet Peak pada awal pagi esok. Kalau sewa di The Remarkable lebih mahal. Sewa di sini jauh lebih murah.

Leaning Tower of Wanaka


Apa nama bilik ni aku dah lupa. Nampak tak sebelah kiri tu besar macam giant, yang kanan tu kemetot je. Ada banyak lagi illusion dalam tempat ni.






The breathtaking views of Lake Wakatipu.



Tunggu Part 2 pulak. Kalau nak tunggu lah. Kalau tak tunggu pun aku update je inshaAllah.

049: Cinta tulus

Sesuatu yang bukan milik kita, selamanya tidak akan menjadi milik kita.

Sesuatu yang sememangnya milik kita, biar terlepas dari genggaman, akan dipermudahkan Allah untuk sampai ke tangan kita kembali.

Keyakinan aku pada itu.

Kerana itu aku tidak meminta sang hati yang setia.

Kerana hati itu bila-bila sahaja boleh berubah biar seribu pengorbanan kita lakukan.

Hati itu boleh berubah tak kira masa biar seribu perjanjian dipaterikan.

Cukup dikhabarkan jika hati sudah berubah.

Kerana jika cinta itu tulus, ia tidak akan pernah mengubah hati.

Saturday, July 2, 2011

Bercuti selama 10 hari di South Island, New Zealand.

Jom main salji!