Thursday, March 7, 2013

081: Aku mahu menulis

Dulu, masa aktif tulis blog, aku selalu pandang kebaikan atas semua yang berlaku pada aku.

Blog buat aku rasa mahu menulis apa pengajaran yang aku dapat hari itu.

Untuk aku kongsi pengajaran itu bersama pembaca aku.

Lalu hidup aku waktu itu terasa ada makna.

Kerana setiap hari aku belajar tentang kehidupan.

Tetapi bila sudah lama tidak menulis, aku seakan-akan lupa, bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya.

Aku yang tidak mencari.

Aku yang tidak belajar.

Kerana aku tidak berkongsi semua itu dengan sesiapa.

Dan hidup seakan-akan tidak ada makna.


Ah, aku mahu menulis semula.

Tapi tanggungjawab sering melebihi masa yang ada.


Sunday, November 11, 2012

Real man doesn't let his woman cry.

Stupid guy does.

Thursday, August 9, 2012

080: Luahan seorang guru

Kehidupan sebagai guru terlalu hectic bagi aku. Beban kerja, ditambah ragam pelajar yang semakin hari semakin menyakitkan hati.

Bukan tidak boleh bersabar. Tetapi kadang-kadang tekanan mengambil alih tindakan rasional.

Pesan seorang guru senior, "Setiap pagi sebelum mula kerja perlu refresh niat. Niat apa kita bekerja dan mengajar."

Pesan seseorang yang lain pula, "5 minit sebelum mula mengajar, pastikan kita beri nasihat. Tanya tentang solat dan sebagainya."

Aku cuba lakukan itu pada mulanya. Cuma bila beban kerja bertambah, bila terlalu banyak silibus untuk dikejar, aku semakin lupa tentang dua nasihat penting itu. Dalam fikiran hanya mengajar, mengajar, mengajar.

Sistem pendidikan sekarang terlalu banyak silibus bagi aku. Terlalu padat sehingga rasa sesak nafas. Tiada masa untuk uji kefahaman, untuk buat aktiviti menarik, untuk pelajar buat presentation etc. Ditambah lagi dengan sistem PBS (pentaksiran berasaskan sekolah) sekarang yang baik pada teori tetapi perlaksanaan gagal. Sistem PBS itu bagus tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki.

Untuk buat ujian setiap topik adalah mengarut. Untuk pastikan semua pelajar mencapai band yang dikehendaki, itu juga mengarut. Untuk membuat ulangan setiap kali pelajar gagal mencapai band yang dikehendaki, itu sangat mengarut. Bukan pelajar sahaja yang semput, guru pun begitu.

Kerja-kerja tambahan yang mengarut untuk guru patut dihapuskan. Menghias pentas untuk hari anugerah sehingga 2 pagi. Itu bukan kerja guru. BUKAN KERJA GURU.

Sekian luahan tekanan seorang guru.


Thursday, July 5, 2012

079: Saintis paling hebat

Suatu pagi, ketika mengajar kelas Tingkatan 1.

"If we don't eat anything for a week, we will become sick and eventually die."

Tiba-tiba, seorang pelajar lelaki mencelah.

"InshaAllah we will die."

Ah, malu sendiri. Baru tersedar kadangkala aku hanya mengajar Sains tanpa mengaitkan dengan Dia. Baru tersedar Allah adalah saintis yang Maha Hebat.

Baru teringat pemuda Kahfi tidak makan apa-apa untuk tempoh beratus tahun, tetapi masih hidup dengan kuasa Allah.

"InshaAllah we will die. Thanks for the reminder."

Aku senyum. Dia senyum.

Belajar sesuatu lagi hari ini.


* * * *

"Plants use carbon dioxide to produce oxygen. We use oxygen for respiration. So we should be thankful to plants for making oxygen for us."

Terhenti di situ. Tiba-tiba aku teringat sesuatu yang aku belajar beberapa hari lepas.

"But who create plants?"

Aku bertanya seisi kelas.

"Allah!!"

Mereka menjawab beramai-ramai. Semangat.

"We can survive until today because Allah gives us oxygen. And we don't have to pay for the oxygen. So don't forget to say alhamdulillah"

"Alhamdulillah...."

Kelas bergema dengan kalimah memuji Dia.

Senyum lagi.




Sunday, July 1, 2012

078: Kerja

Tiba-tiba rindu blog. Sudah terlalu lama tidak menulis. Bukan tiada cerita, tetapi masa yang ada sangat padat dengan pelbagai aktiviti dan kerja.

Alhamdulillah. Itu tandanya masih punya kudrat. Itu tandanya ada kerja. Itu tandanya masa tidak sia-sia.

Sudah sebulan mengajar di sini. Minggu ke-3 sakit tekak. Itu normal, kata cikgu-cikgu lama.

Aku mengajar Tingkatan 1 dan 2. Setakat ini alhamdulillah, tiada pelajar yang perangai tak tentu hala. Yang banyak cakap, yang nakal sikit, yang aktif, yang pasif, yang tersengih tiap masa, itu biasa. Aku seronok melayan kerenah pelajar.

Aku meminta pelajar memberi komen tentang pengajaran aku sepanjang sebulan ini. Alhamdulillah, kebanyakan komen positif. Ramai yang kata faham. Ada yang kata sudah suka dengan subjek aku. Ada yang kata seronok. Moga aku terus memberi yang terbaik untuk mereka. Aku masih belajar, sama seperti mereka.

Masa yang padat begini membuatkan aku tidak punya waktu untuk fikir soal jodoh. Duduk di sekolah yang jauh dari pekan dan kampung, kebarangkalian untuk kenal orang lain itu sangat kecil. Berjumpa dan bergaul dengan komuniti kecil yang sama setiap hari, termasuk hari minggu. Bagaimana agaknya hendak mencari.

"Cikgu bila nak kahwin?"
"Cikgu takde boyfriend lagi ke?"
"Cikgu moga cepat-cepat dapat jodoh."
"Saya tak sabar nak tengok cikgu kahwin."

Soalan begini sudah selalu benar ditanya pelajar.

"Saya tak nak fikir lagi. Buat masa sekarang saya nak fikir tentang pelajar saya sahaja."

Dan itu jawapan aku setiap kali.

Kerana itu memang kebenarannya.

Aku sudah berada di fasa yang aku tahu cinta itu tidak selalunya manis. Jodoh itu bukan bila banyak keserasian yang ada pada kau dan dia. Perkahwinan itu bukan dibina untuk sepuluh tahun sahaja.

Cinta, jodoh dan perkahwinan. Maknanya sangat besar.

Bukan hanya di dunia. Tapi mahu sampai ke syurga.

Kerana itu, selagi hati ini belum bersedia, aku mahu fokus pada kerja. Kerana kerja aku ini kerja yang mulia. Kerana kerja ini sudah buat aku jatuh cinta. Kerana kerja ini akan bawa aku ke syurga, andai aku ikhlas ingin mendapat redha-Nya.