-SATU-
"Mana buku?"
Dia diam.
"Mana buku awak? Semalam saya pesan suruh bawak kan."
Suara aku tinggi sedikit. Geram kerana dia asyik diam tidak menjawab soalan.
"Buku dia basah, ustazah. Banjir." Kawan di sebelahnya mencelah.
"Aah ustazah. Buku saya pun basah." Budak lelaki di belakang pula menambah.
"Siapa rumah dia banjir lagi?" aku bertanya. Beberapa orang mengangkat tangan.
Aku terkedu. Sedikit sesal kerana meninggikan suara.
-DUA-
"Fahim, cepat buat soalan saya tulis kat depan tu. Dari tadi awak buat apa?"
Budak lelaki itu tersengih-sengih dan mengangkat pensil mula menulis. Selang beberapa minit, aku lihat bukunya masih kosong.
"Awak main ya kat belakang tu? Mari ke depan saya ni dan buat kerja."
Aku perhatikan dia buat kerja. Terkial-kial dia cuba menulis.
"Awak pandai tulis tak?"
Dia geleng. Sedih.
Ah, patutlah dia tidak menulis soalan yang aku beri.
Lantas aku duduk di sebelahnya. Pegang tangannya yang memegang pensel, dan bantunya menulis huruf-huruf yang mudah.
"Sekarang awak tulis huruf ni banyak-banyak sampai pandai. Ok?"
Dia angguk. Senyum.
-TIGA-
"Kenapa awak tak siapkan soalan ni? Tulis cepat. Dari tadi awak duduk rehat je saya tengok."
Tiba-tiba air matanya menitis.
"Eh kenapa menangis ni?" tanya aku. Risau pula buat anak orang menangis.
"Demam..." dia jawab perlahan.
Aku letakkan tangan di dahinya. Panas.
"Kenapa awak tak cakap dari tadi? Ya Allah. Tak apalah. Awak buat di rumah ya bila dah sihat nanti."
Dia angguk.
Aku mengelap air mata di pipinya. Ah, kesiannya.
Aku belajar sesuatu beberapa hari ini.
Setiap orang ada masalah dan alasan yang tersendiri.
Kerana itu untuk mengenali, kau harus mendekati, dan cuba memahami.
Dan untuk seorang guru, sabar itu terlalu perlu.
Lirik lagu Kupupu - Dani Kurama
11 hours ago