"Kita kena ingat satu perkara. Percaya pada rezeki."
Terdiam aku mendengar kata-katanya. Tiada hujah untuk membidas. Terdetik di hati, inilah kata-kata yang aku tunggu. Kata-kata yang membuatkan aku kuat untuk mengambil keputusan yang satu.
Lalu aku nekad. Aku akan terus bekerja dengan MARA apabila dipanggil. Tiada lagi pening-pening mahu sambung Honours di Wellington. Tambahan lagi, terlalu banyak halangan untuk aku sambung belajar.
Jujurnya, salah satu sebab aku mahu sambung belajar adalah kerana perbezaan gaji ijazah biasa dan Honours. Sebab lainnya aku masih belum bersedia untuk bekerja, masih mahu belajar dan masih mahu tinggal di Wellington.
Aku tahu bunyinya agak mengada-ngada, tapi aku tidak mahu kembali ke Malaysia secepat ini. Serius. Aku masih mahu hidup dalam keadaan pergi kelas dan lab setiap hari, berjumpa kawan-kawan dan pensyarah yang baik-baik semuanya. setiap hujung bulan diberi elaun, tidur di bilik yang selesa, pergi usrah, pergi program, merantau ke setiap pelosok New Zealand. Aku rindu semua itu. Sumpah aku rindu. Er.. ya walau baru 2 minggu aku pulang.
Namun sejak diberi 'kaunseling' oleh beberapa kaunselor tidak bertauliah, aku mula akur pada takdir dan rezeki. Dan tiba-tiba bersemangat menjadi cikgu kimia yang berjaya. Betul. Aku tak tipu. *muka serius*
Tapi benarlah. Kita memang perlu percaya pada rezeki. Percaya pada Dia.
Yang penting, bahagia.
Gaji banyak kadang-kadang hati tak bahagia. Gaji sikit itu kadang-kadang lebih bahagia.
Pokok pangkalnya pada diri sendiri. Yang mencipta bahagia itu kita. Yang mencari bahagia itu kita.
Dan yang berdoa setiap hari agar Allah memberi bahagia itu juga kita.
Cuma perlu tanya hati, bahagia bagaimana yang kita cari?