Friday, September 20, 2013

083: Fasa Baru di Manchester

Alhamdulillah.

Sudah seminggu di sini. Di bumi Manchester, United Kingdom.

Manchester selalu hujan. Wet and cold, kata mereka.

Masih mengumpul semangat meredah hujan dan kesejukan selama 25 minit setiap hari untuk ke kelas. Aku putuskan untuk berjalan kaki sahaja. Lebih jimat dan sihat.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa tiba-tiba aku di sini?

Aku sebenarnya menyambung pengajian sarjana di sini, setelah setahun lebih bertugas sebagai seorang guru.

Bukan jemu menjadi guru. Bahkan aku rindu.

Cuma hati aku masih kurang sesuatu.

Rutin yang sama setiap hari buat aku buntu. Jiwa aku beku.

Aku tahu bukan ini yang aku mahu.

Usia muda ini tidak mahu aku habiskan dengan bekerja semata-mata.

Aku sekali-kali tidak menyalahkan dunia pekerjaan. Tidak ada salahnya bekerja, jika niat dan perlaksanaannya betul.

Tapi pada aku, kehidupan ini lebih dari itu.

Aku mahu belajar lagi. Tentang kehidupan dan manusia.

Aku mahu pergi ke tempat yang belum pernah aku jejaki.

Aku mahu menemui manusia yang belum pernah aku kenali.

Aku mahu lihat sejauh mana aku boleh pergi.

Aku mahu mencari sesuatu untuk mengisi ruang-ruang kosong yang masih banyak dalam hati.

Aku tidak pasti adakah aku akan temui apa yang aku cari.

Tapi aku pasti, Allah itu selalu menemani.

Moga jiwa ini terus kuat dan tidak kenal putus asa.

Moga jalan ini tidak sia-sia dan menemui kebaikan.

Moga hijrah ini mengubah aku menjadi hamba yang lebih patuh pada-Nya.

Amin.

Sunday, March 17, 2013

082: Semangat

"Cikgu, petang ni kami lawan bola. Cikgu datang tengok ye."
"Kalau saya ada boleh menang ke?"
"Cikgu ada kami semangat. Mesti menang punya. Datang tau."

Waktu itu ada satu perasaan lain dalam diri aku. Aku rasa itu perasaan seorang ibu bila anak-anak minta datang ke hari sukan sekolah. Rasa nak peluk dan cakap kata semangat supaya menang.

Tapi aku tak dapat datang petang itu. Dan pasukan mereka kalah.

"Cikgu petang ni turun hoki tak?"
"Tak tahu lagi. Awak berlatih sendiri pun boleh kan?"
"Tak best lah cikgu takde."

Aku turun lewat. Masih tiada gol dari kedua-dua pasukan. Bila mereka nampak aku sampai...

"Cikgu datang! Main betul-betul!"
"Gol cepat! Cikgu tengok tu!"

Sekelip mata gol 3-2.

Aku senyum melihat semangat mereka.

Dan aku mula sedar, guru itu pengganti ibu bapa. Anak-anak yang berjaya selalunya mempunyai ibu bapa yang selalu menyokong. Dan aku mahu menjadi penyokong kepada kejayaan mereka.

Aku sedar marah itu hanya sia-sia, andai tiada nasihat dan motivasi yang aku berikan.

Mereka masih anak-anak, yang perlu kata-kata semangat dari aku, dari guru-guru.

Moga aku jadi guru yang begitu.

Yang menguatkan, bukan melemahkan.

Yang menaikkan semangat, bukan menjatuhkan.





Thursday, March 7, 2013

081: Aku mahu menulis

Dulu, masa aktif tulis blog, aku selalu pandang kebaikan atas semua yang berlaku pada aku.

Blog buat aku rasa mahu menulis apa pengajaran yang aku dapat hari itu.

Untuk aku kongsi pengajaran itu bersama pembaca aku.

Lalu hidup aku waktu itu terasa ada makna.

Kerana setiap hari aku belajar tentang kehidupan.

Tetapi bila sudah lama tidak menulis, aku seakan-akan lupa, bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya.

Aku yang tidak mencari.

Aku yang tidak belajar.

Kerana aku tidak berkongsi semua itu dengan sesiapa.

Dan hidup seakan-akan tidak ada makna.


Ah, aku mahu menulis semula.

Tapi tanggungjawab sering melebihi masa yang ada.