Alhamdulillah.
Sudah seminggu di sini. Di bumi Manchester, United Kingdom.
Manchester selalu hujan. Wet and cold, kata mereka.
Masih mengumpul semangat meredah hujan dan kesejukan selama 25 minit setiap hari untuk ke kelas. Aku putuskan untuk berjalan kaki sahaja. Lebih jimat dan sihat.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa tiba-tiba aku di sini?
Aku sebenarnya menyambung pengajian sarjana di sini, setelah setahun lebih bertugas sebagai seorang guru.
Bukan jemu menjadi guru. Bahkan aku rindu.
Cuma hati aku masih kurang sesuatu.
Rutin yang sama setiap hari buat aku buntu. Jiwa aku beku.
Aku tahu bukan ini yang aku mahu.
Usia muda ini tidak mahu aku habiskan dengan bekerja semata-mata.
Aku sekali-kali tidak menyalahkan dunia pekerjaan. Tidak ada salahnya bekerja, jika niat dan perlaksanaannya betul.
Tapi pada aku, kehidupan ini lebih dari itu.
Aku mahu belajar lagi. Tentang kehidupan dan manusia.
Aku mahu pergi ke tempat yang belum pernah aku jejaki.
Aku mahu menemui manusia yang belum pernah aku kenali.
Aku mahu lihat sejauh mana aku boleh pergi.
Aku mahu mencari sesuatu untuk mengisi ruang-ruang kosong yang masih banyak dalam hati.
Aku tidak pasti adakah aku akan temui apa yang aku cari.
Tapi aku pasti, Allah itu selalu menemani.
Moga jiwa ini terus kuat dan tidak kenal putus asa.
Moga jalan ini tidak sia-sia dan menemui kebaikan.
Moga hijrah ini mengubah aku menjadi hamba yang lebih patuh pada-Nya.
Amin.